Malaysia Dijangka Mampu Capai Pertumbuhan KDNK Tahunan 7.7 Peratus – JP Morgan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – JP Morgan optimis Malaysia mampu mencapai pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahunan sebanyak 7.7 peratus pada 2022, yang berkemungkinan antara yang tertinggi di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif JP Morgan Malaysia, Wong Hooi Ching berkata ekonomi negara berdaya tahan disokong oleh sistem perbankan yang kukuh, sokongan daripada kerajaan dan korporat yang berhemah.

“Kami juga yakin dan optimis terhadap industri elektrik dan elektronik (E&E) memandangkan Malaysia kini membekalkan 10 peratus daripada komponen semikonduktor di peringkat global,” katanya pada program Invest Malaysia 2022 Series 1: Building Resilience Amidst Volatility (Invest Malaysia 2022 Siri 1: Membina Daya Tahan Di Tengah Ketidaktentuan), di sini, hari ini.

Di samping itu, katanya, Malaysia telah berjaya menarik pelaburan langsung asing tertinggi dalam tempoh enam tahun lepas, berjumlah US$1.9 bilion (US$1=RM4.52) ke dalam negara setakat Ogos 2022.

Wong juga berkata, Malaysia mempunyai kumpulan tenaga kerja yang besar dan JP Morgan merancang untuk kekal berinovasi, bekerjasama dan menyokong pemimpin generasi akan datang seiring dengan transformasi ekonomi.

Pada Isnin, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia mungkin dapat melepasi anggaran rasmi antara 5.3 dan 6.3 peratus pada 2022.

Beliau berkata demikian susulan pertumbuhan pesat negara pada suku kedua pada 8.9 peratus dan jangkaan prestasi yang lebih baik pada suku ketiga.

Tengku Zafrul berkata Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan yang lebih kukuh pada suku ketiga meskipun keadaan ekonomi global yang lemah serta peningkatan dolar AS.

Unjuran angka baharu itu akan diumumkan semasa pembentangan Bajet 2023 pada 7 Okt ini. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat