Kerjasama Dengan PN Hanya Boleh Dipertimbang Jika PH Batal Keputusan Sebelumnya – Guan Eng

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Perikatan Nasional (PN) hanya boleh dipertimbangkan sekiranya Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) membatalkan keputusannya sebelum ini.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, berkata ia kerana Majlis Presiden PH sebelum ini sudah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri itu atau gabungan yang dipimpinnya disebabkan peranannya sebagai ‘pengkhianat’ dalam Langkah Sheraton.

“Kita tidak boleh bekerjasama dengan orang yang tidak boleh dipercayai. Kerjasama dengan Muhyiddin atau PN hanya boleh dipertimbangkan sekiranya Majlis Presiden PH membatalkan keputusannya sebelum ini.

“Saya akan menentang sebarang pembalikan keputusan sebelum ini,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini berkata, beliau terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak atau gabungan, asalkan berlandas prinsip tertentu, bukan hanya untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) semata-mata.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, dalam kenyataan beberapa jam selepas sidang media terbabit menjelaskan bahawa parti itu tidak berhasrat untuk bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) dan PN.

Mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad, Guan Eng berkata, PH sedia bekerjasama dengan parti pembangkang lain, namun dengan syarat mereka menerima peranan kepemimpinan PH dan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

“Ini sudah diterima tanpa syarat oleh MUDA dan Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Bagaimanapun Majlis Presiden PH tidak dimaklumkan mengenai sebarang perubahan hati oleh Tun Dr Mahathir.

“Saya ditanya oleh wartawan mengenai kenyataan Anwar berkenaan kemungkinan bekerjasama dengan Muhyiddin daripada Dr Mahathir pada pilihan raya umum akan datang.

“Anwar sudah membalas panggilan telefon saya dengan mengesahkan prinsip ini dan menjelaskan bahawa kenyataan beliau dipetik dengan tidak tepat. Beliau berkata bahawa pembetulan terhadap kenyataan terbabit akan dibuat,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat