KUALA LUMPUR – Keputusan Pas menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu bukan sesuatu yang baharu kerana perkara sama pernah berlaku dengan parti atau gabungan lain yang turut berakhir dengan perpisahan.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tindakan Pas Pusat malam tadi sebagai satu lagi episod yang mengulangi corak lama dalam politik negara.
Katanya, setiap kerjasama politik yang dilakukan oleh Pas pasti akan berakhir dengan perpisahan.
“Kita tengok kerjasama dengan semangat Semangat 46, atau pun PH sendiri, kemudian dengan Umno (Muafakat Nasional 1.0), kemudiannya Bersatu, semua menerima nasib yang sama.
“Walaupun alasannya sama iaitu penyatuan ummah, semua itu mengikut tafsiran dan sudut pandang dialah (Pas). Sebab itu saya kata, dari segi politik ini dia dinamik.
“Rukun prinsip politik dalam Islam ialah tegakkan keadilan, menyeru makruf dan mencegah mungkar, mengajak kepada kebaikan, menyemaikan sifat kasih sayang, perpaduan. Itu prinsip dalam politik Islam.
“Lepas ini siapa lagi? Siapa saja yang bergabung dengan dia (Pas) berakhir dengan perceraian. Isunya talak satu, talak dua atau talak tiga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Citra Negara, Menteri Dalam Negeri: Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, lapor Harian Metro pada Selasa.
Yang turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, Pengarah ADTEC Batu Pahat, Dr Muhammad Yusof dan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani.
Semalam, Pas secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.
Ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat malam ini, selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan, berkata parti memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik Pas, atas prinsip penyatuan ummah.
Beliau berkata, mesyuarat memperakukan keputusan Pas meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Sebelum ini, Hadi berkata, Majlis Syura Ulama Pas sudah bermuzakarah mengenai isu berkenaan dan menyerahkan kepada jawatankuasa pusat parti itu untuk menentukan tindakan yang wajar diambil.
Keputusan malam ini dilihat satu tamparan buat Bersatu ketika Muhyiddin semalam mengulangi tekad untuk terus memelihara hubungan baik antara parti itu dengan Pas dalam PN.


