‘Hackers’ akan direkrut ATM hadapi serangan siber – Khaled

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan merekrut penggodam komputer atau ‘hackers’ sebagai aset baharu ketenteraan yang dibentuk bagi memperkukuh sistem pertahanan negara seiring usaha membangunkan angkatan masa hadapannya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pasukan itu akan memberi tumpuan kepada ancaman bukan tradisional seperti serangan siber, ancaman digital serta elektromagnetik pertahanan.

Katanya, pendekatan itu mula menjadi norma untuk angkatan tentera melakukan proses pengambilan anggota baharunya.

“Malah, ramai penganalisis meramalkan yang pertempuran atau pertembungan kuasa akan lebih membabitkan kecanggihan teknologi seperti ‘unmanned drones’ dan aset yang dikawal secara digital.

“Semua ini menjadi asas untuk kita melihat secara serius keupayaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), ‘big data’ dan pendigitalan di Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM.

“Satu hari nanti kita akan ambil anggota tentera yang pandai dan hebat, yang boleh menjadi ‘hackers’ (penggodam) dan sebagainya. Dia ada uniform sendiri, pasukan dan sebagainya.

“Perang masa depan akan lihat dari sistem saja. Itu sebab, kita kena kaji supaya kita tak ketinggalan kerana negara lain terutama Singapura sudah jadikan ini sebagai ketumbukan keempat dalam sistem perkhidmatan tenteranya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Kick-Off Pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan lapor BH pada Selasa.

Turut sama hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman serta Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Mengulas lanjut, beliau berkata, matlamat penubuhan pasukan sedemikian juga dapat memperkukuh sistem kawalan dan pemantauan di perairan dan sempadan negara dari sebarang ancaman penyeludupan.

“Kita berjiran dengan banyak negara dan kita kena lihat dron yang masuk. Kita difahamkan sekarang penyeludup mereka memang pakai dron, dia mahu tahu di mana (pasukan keselamatan), di mana operasi kita, anggota kita, jadi dia tak akan mendarat di kawasan itu.

“Sebab itu mereka masih boleh mendarat (menyeludup) sebab dia (pantau) pakai dron. Jadi bagaimana kita boleh lumpuhkan dron mereka supaya tindakan kita lebih berkesan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Mohamed Khaled yakin, persediaan ke arah itu penting selepas mengambil iktibar terhadap satu kejadian penggodaman dan kecurian fail dari Pentagon, Amerika Syarikat (AS) yang digelar sebagai ‘insiden besar’ pada suku akhir tahun lalu, yang mengakibatkan sehingga lebih 600,000 emel terjejas serta memberi kesan kepada lebih 2,500 organisasi kerajaan.

“Malah, pada bulan lalu saja, satu lagi insiden yang hampir sama turut dilaporkan membabitkan data berkaitan dengan ketenteraan AS. Insiden sebegini bukan perkara baharu. Malah, akan terus berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penyediaan dan pembangunan Angkatan Masa Hadapan ini mesti menjadi matlamat besar yang mendasari Kertas Putih Pertahanan dan dasar-dasar atau pelan strategik yang menyokongnya.

Namun, katanya, tafsiran Angkatan Masa Hadapan ini mesti kita fahami dengan cara dan konteks yang lebih luas dan strategik, dimana ia tidak secara automatik merujuk secara terhad kepada hanya pengambilan lebih ramai anggota atau perolehan lebih banyak aset.

“Penggodaman serta serangan siber hasil operasi atau kegiatan yang disebut ‘hacktivist’ adalah sesuatu yang berisiko memberi impak besar kepada keselamatan dan pertahanan sesebuah negara.

“Malah mampu melumpuhkan aktiviti ekonomi, perjalanan pentadbiran kerajaan sistem perubatan dan pengangkutan serta banyak lagi impak serius,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat