KUALA LUMPUR- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa memantau dan mengawal selia kandungan vape.
Menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan adalah amat penting kandungan vape dikawal selia supaya kita dapat memastikan bahawa bahan-bahan yang digunakan adalah selamat dan tidak memudaratkan.
“Kerajaan mesti memperkenalkan peraturan untuk mengawal selia kandungan vape. Sekarang ini tiada apa-apa peraturan yang dikenakan untuk mengawal bahan-bahan yang dicampur dalam cecair vape dan kita tidak tahu jika bahan merbahaya juga digunakan.
“Menteri Kesihatan mempunyai kuasa untuk memperkenalkan peraturan kandungan vape melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023. Tidak ada sebab kenapa kerajaan tidak mahu memperkenalkan peraturan ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Untuk itu, beliau hari ini telah menghantar satu surat kepada Menteri Kesihatan dan surat yang sama disalinkan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan di Parlimen.
“Dalam surat tersebut, saya mencadangkan agar pihak Kementerian Kesihatan merujuk kepada piawaian di negara-negara yang telah memperkenalkan peraturan berkaitan vape sebelum ini.
“Contohnya, ada negara yang telahpun menguatkuasakan peraturan untuk mengawal bahan-bahan yang terkandung dalam cecair vape, kandungan nikotin, dan kepekatan cecair vape,” katanya.
Ahli MPT Bersatu itu menegaskan, dalam Kesatuan Eropah, setiap kartrij hanya dibenarkan mengandungi 2 ml cecair vape, manakala kandungan nikotin pula mestilah tidak lebih dari 20 mg per ml.
“Negara kita tidak mempunyai peraturan seperti ini dan peraturan tersebut mesti diperkenalkan segera.
“Saya banyak dihubungi oleh pelbagai pihak yang menyatakan persetujuan mereka terhadap pandangan saya bahawa negara perlu mempunyai peraturan yang jelas mengenai vape.
“Mereka terdiri dari ibu bapa, guru-guru, pengusaha vape, dan juga NGO, baik dari kawasan saya di Tasek Gelugor mahupun dari kawasan lain,” katanya.