KUALA LUMPUR – Rombakan Kabinet Sabah masih tidak dapat menghentikan krisis politik di Negeri Di Bawah Bayu itu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan krisis politik di Sabah masih tidak dapat diselesaikan dan sentiasa akan terus bergolak selagi rakyat negeri itu tidak mendapat tempat yang sebenarnya oleh pemerintah ketika ini.
“Umno ini memang selalu berhadapan dengan cabaran dan dugaan tanpa ada nokhtah. Kita yakin bahawa kemelut politik ini selalu kita selesaikan kerana Umno mempunyai kepakaran dalam menyelesaikan isu seumpama ini.
“Saya meminta ahli-ahli Umno di Sabah supaya ikut keputusan parti iaitu mendengar apa jua yang telah dinyatakan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk kita bertenang sebab setiap satu persoalan itu akan ada jawapannya,” jelas bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah I itu ketika ditemui media di World Trade Centre (WTC), pada Jumaat.
Jelas Bung Moktar lagi, krisis politik Sabah memang tidak boleh selesai walaupun kini dalam tempoh bertenang ekoran pergolakan masih belum tamat.
Hal ini katanya, pembentukan kerajaan di peringkat awal adalah dari Umno dan Perikatan Nasional (PN) dan ini juga menjadi satu persoalan.
“Tak mengapalah, orang main politik, kita pun main politik,” ujar ADUN Lamag itu lagi.
Pun begitu Bung Moktar menegaskan, gerakan Umno Sabah bukannya ke arah mengguling kerajaan sedia ada.
“Guling dengan membentuk kerajaan, lain. Guling ini berniat jahat tujuan kita ni nak perbetulkan hala tuju politik supaya rakyat dan Sabah menjadi sebuah negeri yang mampu untuk dibangunkan.
“Guling ini bermakna membinasakan.. ada definasi berbeza, kita bukan mahu mengguling, kita mahu menentukan supaya rakyat Sabah mendapat tempat yang sebenarnya oleh pemerintah ketika ini,” tegas beliau.
Ketua Umno Sabah itu bagaimanapun menyatakan Umno belum membuat sebarang keputusan berhubung status lima ADUN Umno Sabah yang bertindak berpaling menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
“Nasib lima orang yang sokong Hajiji akan ditentukan oleh parti, apa yang boleh parti lakukan untuk kelima-lima yang bertindak di luar jangka itu.
“Kita belum kemuka ke Lembaga Disiplin sebab kita ada proses-proses tertentu yang kita perlu ikuti,” ujarnya.
Sebelum ini, lima ADUN Umno Sabah bertindak menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri selepas Bung Moktar mengumumkan BN menarik sokongan terhadap ADUN Sulaman itu.
Lima ADUN terbabit adalah Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Jasnih Daya (Pantai Dalit), James Ratib (Sugut), Yusuf Yacob (Sindumin) dan Arsad Bistari (Tempasuk).
Susulan pergolakan itu, Bung Moktar digugurkan daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri selepas rombakan Jemaah Menteri dilakukan Hajiji.
Beliau sebelum ini merupakan antara tiga Timbalan Ketua Menteri yang juga memegang portfolio Menteri Kerja Raya. -Suara.TV