Peluang bekas resort terkenal bangkit semula

- Advertisement -

Oleh: Nik Syukri Ramli

KUANTAN – Jenama Cherating bukan lagi asing dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Namun, semua itu sudah berlalu dan sejak kira-kira 10 tahun lalu, Cherating bukan lagi destinasi pilihan utama pelancong dan menyaksikan banyak tempat penginapan terpaksa ‘tutup kedai’ kerana tidak mampu menanggung kos operasi.

Antara resort yang menjadi ‘mangsa’ adalah Cherating Bay Resort yang terletak di Kampung Cherating Lama, Jalan Kuantan-Kemaman.

Resort yang memiliki 164 bilik berkonsep apartment itu mula ditutup pada tahun 2018 akibat kemelesetan ekonomi dan perubahan polisi kerajaan ketika itu.

Pemiliknya, Ramli Nordin,73, berkata dia merancang untuk membuka semula resort berkenaan pada tahun 2020, namun terpaksa membatalkan hasratnya berikutan penularan COVID-19.

Ramli Nordin

“Saya pun ada berbincang dengan beberapa rakan, tanya pendapat mereka dan saya ambil keputusan untuk tidak meneruskan cadangan membuka semula resort ini.

“Lagipun, saya tidak nampak potensi Cherating untuk kembali bangkit sebagai destinasi pilihan utama pelancong dalam masa terdekat.

“Jadi, selepas terbiar sejak tahun 2018, saya fikir ada baiknya tempat ini dimanfaatkan untuk tujuan lain,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Fatimah Awang Lah

Ramli kemudiannya menghubungi kenalan lamanya, Fatimah Awang Lah, 75, yang berminat untuk menjadikan bekas resort itu sebagai pondok pengajian agama.

Katanya, mereka kemudiannya berbincang dengan bekas pensyarah maahad tahfiz negeri Pahang bagi memulakan projek itu.

“Saya berterima kasih kepada mereka kerana inilah yang terbaik untuk tempat ini, saya pun dah tua jadi saya anggap inilah bekalan untuk saya apabila meninggal dunia.

“Memang saya akui, saya bukanlah orang yang baik sangat, bab agama pun tak pandai, solat pun tak betul, jadi bila mereka sanggup mengubah resort ini menjadi pusat aktiviti keagamaan, saya bersyukur kepada Allah, inilah hidayah yang Dia nak berikan kepada saya,” katanya lagi.

Sementara itu, Fatimah berkata, bekas resort itu kini dijenamakan semula sebagai Pondok Warga Emas At-Tahwil dan sudah mula beroperasi sejak Oktober 2021.

Katanya, buat masa ini pondok itu menyediakan 10 unit kediaman dan dua lagi sedang dalam proses baik pulih.

“Kita cuma hadkan 40 penghuni sahaja di pondok ini bagi memastikan setiap penghuni dapat menjalani rutin harian dengan lebih selesa.

“Selain itu, kita juga menganjurkan kuliah agama dipimpin ustaz bertauliah sebanyak tiga kali seminggu dan terbuka orang ramai, terutamanya penduduk kampung sekitar boleh menghadiri kuliah ini,” katanya.

Dia bagaimanapun mengakui pondok itu masih kekurangan dana bagi melakukan kerja baik pulih 36 lagu unit kediaman dalam kawasan bekas resort itu.

Katanya, satu perjumpaan dan perbincangan dengan pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) juga sudah diadakan bagi mencari jalan untuk membantu membina semula kawasan bekas resort berkenaan.

Ahmad Taufek Zakaria

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Amal At-Tahwil, Ahmad Taufek Zakaria memberitahu pihaknya merancang untuk memperkenalkan pakej pelancongan Islamik kepada orang ramai dan pelancong yang mengunjungi Cherating.

“Semua ini akan kita lakukan secara berperingkat dan kita memang ada perancangan ke arah itu.

“Cuma benda pertama kita perlu buat ialah menyediakan kemudahan bersesuaian kepada orang ramai dan pelancong, kena ada dewan dan pelbagai fasiliti lain sebelum boleh menawarkan pakej (pelancongan Islamik) kepada mereka yang berminat.

“Kos untuk baik pulih kawasan ini juga tinggi, jadi kita harap pihak MUIP boleh mempertimbangkan dan memberikan bantuan kepada kami,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia mencatatkan kehadiran 5.32 juta pelancong Muslim pada tahun 2019 yang membelanjakan kira-kira RM16.72 bilion.

Ini menunjukkan potensi besar pasaran pelancongan Islamik dan boleh menjana pendapatan bukan sahaja kepada pengendali pusat pelancongan, bahkan kepada penduduk setempat.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat