KUALA LUMPUR – Bendahari Barisan Nasional Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyatakan beliau akan bertanding jawatan tertinggi parti sekiranya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 tidak menghalang sebarang pertandingan tertinggi parti.
“Kita kena tunggu mesyuarat PAU kali ini, dan sekiranya keputusan PAU hari ini ada pemilihan, saya sendiri tidak keberatan untuk bertanding dalam pemilihan akan datang,” katanya.
Hishammuddin sebelum ini secara terbuka membantah langkah parti mengadakan kerjasama dengan PKR dan DAP serta sanggup dipecat jika kenyataan beliau dianggap melanggar disiplin parti.
Dalam catatan minggu lalu pula Hishamuddin secara tegas menyatakan UMNO memerlukan perubahan berikutan prestasinya merudum teruk dalam PRU15 lalu.
“UMNO perlu lakukan penambahbaikkan, dan apa jua pembetulan yang diperlukan untuk parti kesayangan ini. Banyak sangat kerja kena buat kalau nak pulihkan semula keyakinan rakyat, Kita tak boleh salah langkah lagi.” katanya lagi.
Bekas Naib Presiden UMNO tersebut sebelum ini disebut-sebut akan bertanding jawatan Presiden UMNO berganding dengan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berikutan kegagalan Barisan Nasional mencatat prestasi yang baik dalam Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.
UMNO perlu mengadakan pemilihan UMNO sebelum 19 Mei 2023 iaitu enam bulan selepas PRU15 seperti mana yang diputuskan dalam PAU2021 dan pindaan Perlembagaan UMNO yang lepas.
Bagaimanapun pemilihan jawatan tertinggi parti itu menimbulkan banyak tanda tanya berikutan muncul cadangan dari Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajidi Dusuki dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad agar dua jawatan tertinggi parti itu – presiden dan timbalan presiden – tidak dipertandingkan.