Persatuan UMANY Mohon Ampun Daripada Agong, Gesa Polis Henti Siasatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Persatuan Belia Baharu University Malaya (UMANY) menzahirkan permohonan ampun dan maaf daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana mempertikaikan kuasa baginda.

UMANY dalam kenyataannya berkata, mereka mematuhi sistem raja berpelembagaan di Malaysia serta menghormati peranan Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan negara.

Katanya, UMANY juga menarik balik kenyataan bertajuk “YDPA Should Not Interfere in National Affairs” yang dipaparkan di halaman Facebook bahasa Cina dan bahasa Inggeris UMANY pada 30 Oktober 2020.

Tindakan itu, katanya, dibuat selepas merujuk kepada pakar-pakar Perlembagaan.

“Selain menzahirkan maaf kepada masyarakat, pihak UMANY ingin secara khususnya mengemukakan permohonan maaf dan memohon ampun Tuanku atas kekurangan pemahaman kami terhadap Perlembagaan,” kata UMANY.

Menurut UMANY, kenyataan 30 Oktober lalu adalah untuk perbincangan akademik dan tidak berniat menghasut sambil mendakwa Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia juga merupakan undang-undang zalim yang menindas kebebasan bersuara rakyat.

Dalam kenyataan itu, UMANY juga menuntut pihak polis menghentikan segala siasatan yang dijalankan di bawah akta-akta tersebut terhadap ahli-ahli UMANY.

Persatuan itu juga menggesa kerajaan agar memansuhkan undang-undang zalim yang didakwa menyekat kebebasan bersuara.

“Pihak UMANY juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dan solidariti kepada pihak kami semasa dipanggil oleh pihak polis untuk memberi kenyataan.

“Pihak UMANY akan meneruskan usaha pihak kami dalam memupuk dan mempertahankan kebebasan demokrasi di Malaysia bersama dengan masyarakat sivik demi Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Presiden UMANY, Yap Wei Qin sebelum ini mendakwa pihak polis telah menyalahguna kuasa apabila melakukan siasatan terhadap enam ahli jawatan kuasa persatuan tersebut dan menganggap keterangan yang diberi oleh beliau dan naib presidennya 5 November telah memadai.

Selain itu, bekas presiden UMANY juga ditahan polis kerana mengganggu siasatan apabila bertindak membuat rakaman video kehadiran polis ke kediaman mereka.

Terdapat 70 laporan polis dibuat terhadap hantaran UMANY di laman Facebook yang disifatkan sebagai menghina Yang di-Pertuan Agong. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat