BERUAS, — Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr. Haji Azhar Ahmad menafikan dakwaan beliau menampar cucu Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menghadiri program rasmi sebuah universiti di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.
Penafian itu dibuat selepas Sinar Harian melaporkan Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi, yang juga Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, mendakwa ditampar seorang senator selepas tamat sesi ceramah Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU).
Azhar dalam kenyataan medianya berkata dakwaan tersebut tidak benar dan menjelaskan kejadian sebenar berlaku ketika beliau diperkenalkan kepada Nik Alif selepas selesai menyampaikan syarahan.
Menurutnya, beliau dimaklumkan pelajar itu merupakan anak saudara kepada sahabatnya sebelum mereka bersalaman dalam suasana mesra.
“Dalam suasana yang mesra, saya telah bersalaman dan menyentuh pipi beliau sebagai tanda kemesraan memandangkan hubungan saya dengan keluarganya.
“Tiada sebarang tamparan, serangan fizikal atau perbuatan kasar berlaku seperti yang didakwa,” katanya.
Nik Alif sebelum ini mendakwa insiden itu berlaku di hadapan kira-kira 10 hingga 15 individu termasuk pegawai kanan universiti dan rakan MPP, sebelum beliau membuat laporan polis di IPD Kota Bharu pada Sabtu.
Azhar berkata rakaman video yang tular tidak memaparkan keseluruhan konteks kejadian sehingga menimbulkan persepsi tidak tepat dan mencemarkan reputasinya.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya meneliti fakta sebenar serta tidak menyebarkan dakwaan tidak berasas.
“Saya menyimpan segala hak saya di sisi undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan atau menyebarkan kenyataan palsu yang menjejaskan reputasi saya,” katanya.



