KUALA LUMPUR – Pembangkang didakwa ‘slow’ dan tidak menyerlah memanfaatkan modal politik dalam isu pembinaan lima kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Dalam podcast Keluar Sekejap yang dimuat naik pada Khamis, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, modal utama yang boleh digunakan pembangkang ialah isu peruntukan asalnya dari RM9 bilion untuk enam kapal kepada RM11.2 bilion hanya untuk lima kapal dan kenapa situasi ini sampai ke tahap ini?
Bahkan katanya, LCS hanya dijangka siap pada 2029 berbanding tempoh penyerahan aset berkenaan sepatutnya pada 2022 malah menurut laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tempoh masa pembinaan LCS dilanjutkan kepada 83 bulan dengan perincian rekaan masih belum selesai.
“PAC kata akan siap pada 2029, detail design masih lagi belum selesai yang sebabkan LCS ini tangguh sampai 2029. Manakala
enam buah LCS jadi lima kos meningkat daripada RM9 bilion ke RM11.2 bilion kena tunggu lagi.
“Ada dua perkara iaitu satu pelan menyelamatkan projek ini yang sedang dipantau oleh PAC tambah peruntukan dapat lima kapal seperti dijanjikan kontraktor.
“Tapi satu lagi isu belum lagi diselesaikan macam mana sampai tahap ini? Ini point dia. Sebab sebelum ini LCS ini digunakan oleh mereka yang sekarang ini duduk dalam Jemaah Menteri sebagai modal untuk menang undi bahawa penyelewengan yang besar telah berlaku sehingga kita tak dapat kapal seperti mana yang kita telah beli seperti mana dijanjikan… duit telah pun keluar tapi perkara itu semua disembunyikan dah dilupakan, disenyapkan ini semua dah jadi untold story,” katanya.
Bekas Menteri Kesihatan itu mempersoalkan masalah pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan tidak pandai memanfaatkan isu hangat seperti ini.
“Saya tak pasti apa masalah PN, ini (LCS) adalah isu.
“Kalau dulu PH berada di bangku pembangkang cerita ini dia akan jaja sampai ceruk kampung mana kerana naratifnya sangat senang, duit RM9 bilion untuk enam kapal kepada RM11 bilion untuk lima kapal.
“Kenapa kita berada dalam keadaan hari ini dan kena siasat apa yang berlaku sehingga mengakibatkan perkara ini kerana ini menjadi masalah yang sangat besar perlu dibangkitkan.
“kita tahu kenapa perkara ini tak dibangkitkan, kita tahu kenapa jadi untold story, PN sangat slow kenapa dengan mereka? Soal beliau.
Sementara itu, Shahril Hamdan pula menyatakan, kalau ini zaman Muafakat Nasional (MN) melibatkan Umno dan PAS isu LCS ini memang zaman legasi Umno dan PAS.
“Tentunya peranan pembangkang lebih utuh mereka lebih mempersoalkan kerajaan tapi sekarang PN tak mainkan peranan, pembangkang nampak kurang menyerlah dalam hal sebegini.
“Pembangkang sedia ada tak reti nak bangkitkan balik,” katanya.