Beras: Siasatan SPRM berdasar aduan bukan kerana politik – Azam Baki

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan, siasatan yang dijalankannya terhadap kepincangan pengedaran beras negara tidak menjurus kepada mana-mana kerajaan negeri atau ahli politik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan SPRM berhubung isu itu bukan bersifat mencari kesalahan pihak-pihak tertentu, sebaliknya ia berdasarkan maklumat dan aduan.

Beliau berkata, SPRM akan bertindak secara profesional dalam menjalankan siasatan ke atas mana-mana pihak yang disyaki melakukan sorokkan sehingga mengganggu pengedaran bekalan beras tempatan.

“Kita tidak ada ‘target’ (sasar) seseorang atau mana-mana pihak, kerajaan negeri atau mana-mana ahli politik. Tugas kami SPRM ialah untuk meneliti sebarang maklumat dan juga aduan yang kita terima.

“Tidak ada sebarang kekangan politik ataupun sebarang pembabitan mana mana pihak dalam siasatan kami kerana mana-mana pihak yang terbabit dalam isu jenayah, rasuah, salah guna kuasa akan menjadi perhatian dan tumpuan kami tidak kira siapa pun mereka,” katanya lapor BH pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Program Public-Private Partnership (PPP) Fasa 2 di sini, hari ini. Yang turut hadir, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abd Rahman Abu Bakar.

Ketika ditanya sama ada siasatan SPRM ketika ini ada kaitan dengan siasatan terdahulu berhubung isu sama pada 2016 membabitkan sebuah syarikat di Kedah, Azam berkata, pihaknya menjangka kes ini ada persamaan.

“Saya tidak boleh nyatakan sama atau tidak. Dahulu memang kita pernah ada pengalaman menyiasat kes-kes membabitkan subsidi beras. Saya menjangkakan kemungkinan benda yang sama (isu sama),” katanya.

Azam berkata, semalam, SPRM sudah mendakwa seorang individu sudah didakwa di mahkamah berkaitan isu itu selain menyerbu lima kilang beras di Kedah.

“SPRM melihat kepada isu bukan sahaja mengenai menyorok beras, tetapi isu subsidi yang diselewengkan dan juga potensi berlaku kesalahan pihak lain yang mungkin bersekongkol dengan pengilang,” katanya.

Azam menambah, siasatan berkaitan isu itu membabitkan banyak agensi lain, namun perspektif siasatan SPRM dari sudut kesalahan penyelewengan subsidi kerana ia membabitkan dana wang kerajaan.

“Kita bukan sahaja nak tengok berapa banyak beras yang disorokkan, tetapi dokumen-dokumen yang terlibat, invois dan sebagainya, berkaitan tuntutan untuk mendapatkan subsidi.. ini yang kita perlu lihat.

“Selepas ini juga SPRM akan menjalankan siasatan berkaitan pihak-pihak yang terbabit dalam kawal selia padi, kita akan panggil untuk memberi keterangan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya beliau tidak menolak kemungkinan ada lagi kilang beras yang akan diserbu pihaknya selepas ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat