Timbalan Speaker: Ahmad Maslan vs Nga Kor Ming?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Persaingan dua calon bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dijangka menjadi tumpuan pada persidangan hari kedua Dewan Rakyat, Selasa ini.

Pegawai di Parlimen berkata, usul bagi memilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi mengisi kekosongan jawatan itu dijadual sebaik sesi pertanyaan lisan, yang bermula jam 10 pagi, selesai.

“Usul (memilih Timbalan Yang Dipertua) sudah dimasukkan dalam aturan (urusan mesyuarat). Ahli Parlimen akan buat keputusan,” katanya memetik BH, pada Jumaat.

Setakat hari ini, Ahli Parlimen dari blok kerajaan dilaporkan mencalonkan Ahli Parlimen Pontian dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Maslan untuk mengisi jawatan dikosongkan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Blok pembangkang dilaporkan mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mewakili Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum ini mengesahkan PH menamakan Kor Ming, sementara beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang dihubungi sebelum ini mengesahkan pencalonan Ahmad.

Kor Ming adalah bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika PH menerajui kerajaan sementara Ahmad adalah Setiausaha Agong UMNO, menjadi Ahli Parlimen sejak Mac 2008.

Mengikut Peraturan Mesyuarat 6(2) dewan, aturan memilih Timbalan Yang Dipertua boleh dibuat seperti hendak memilih Yang Dipertua.

Dalam urusan pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Peraturan Mesyuarat 4(3) menyatakan sekiranya terdapat lebih daripada satu pencalonan, maka undian akan dilakukan secara ‘belah bahagian’ atau bersurat.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 bermula Isnin ini hingga 12 Oktober depan yang berlangsung selama 17 hari.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat pada hari pertama, serta menyampaikan Titah Diraja.

Sidang kali ini juga akan menyaksikan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada 27 September, disusuli sesi perbahasan bermula 28 September hingga 4 Oktober.

Kor Ming hari ini mengemukakan cadangan 10 langkah reformasi atau pembaharuan Parlimen jika dipilih sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat, minggu depan.

Pengerusi DAP Perak itu yang pernah menyandang jawatan sama ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berpendapat, pembaharuan yang dicadangkan itu akan membolehkan Parlimen Malaysia menjadi institusi berkelas dunia.

Menurutnya, perkara yang dicadangkan itu akan membolehkan Parlimen mempunyai kebebasan kewangan, memiliki sistem perkhidmatannya sendiri, melakukan semakan berkala terhadap rang undang-undang, meneliti secara terperinci belanjawan kerajaan, mendepani masalah di kawasan parlimen serta memainkan peranan periksa dan imbang terhadap kerajaan selaras dengan doktrin pemisahan kuasa.

“Cadangan reformasi itu antara lain memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen yang telah dimansuhkan pada 1992.

“Draf rang undang-undang ini sudah disediakan (ketika PH memerintah) dan sepatutnya boleh dibentangkan di Parlimen pada akhir tahun ini, bagi membolehkan pentadbiran dan kewangan Parlimen bebas daripada campur tangan pihak eksekutif (kerajaan yang memerintah),” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat