Kewarganegaraan Automatik: Keputusan Mahkamah Tinggi Beri Hak Ibu Setara Bapa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan kewarganegaraan automatik diberikan kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, membatalkan tafsiran awal menetapkan kewarganegaraan kanak-kanak diberikan berasaskan status bapa warganegara Malaysia saja.

Pengasas Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (COMWEL), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan mahkamah itu secara langsung memberikan hak sama rata golongan ibu dengan bapa seperti diterima di peringkat sejagat.

Beliau berkata, berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi itu, keputusan terbabit tidak membabitkan perubahan dasar kerana undang-undang sedia ada memelihara keluhuran Perlembagaan.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini perlu melaksanakan keputusan itu dengan merangka prosedur permohonan kewarganegaraan bersesuaian.

“Keputusan ini amat dialu-alukan dan memberi rahmat kepada golongan wanita,” katanya memetik Berita Harian.

Dalam keputusan semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir, melalui penghakimannya memutuskan perkataan ‘bapa’ dalam Jadual kedua Perlembagaan mesti bermaksud dan merangkumi ibu.

Beliau membuat keputusan itu ketika membenarkan saman pemula difailkan bagi menuntut perisytiharan yang anak wanita warga Malaysia tetapi berkahwin dengan rakyat asing, secara automatik layak memperoleh kewarganegaraan walaupun anak itu dilahirkan di luar negara.

Ia selaras dengan Perkara 8 (2) Perlembagaan yang dibaca bersama dengan Perkara 14 (1)(b) yang tidak bercanggah dengan Bahagian (1)(b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan.

Melalui saman pemula difailkan 18 Disember tahun lalu, Association of Family Support and Welfare Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) dan enam ibu rakyat Malaysia selaku plaintif menamakan kerajaan sebagai defendan tunggal.

Mereka memohon beberapa perisytiharan antaranya Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua Bahagian II Perlembagaan dibaca bersama Perkara 8(2) dengan memasukkan sekali perkataan ibu sebagai syarat bagi kanak-kanak dilahirkan di luar negara diberi taraf kerakyatan secara automatik.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat