Sudah Lama Saling Menghormati, Sabah Tolak Cadangan Perkenal Akta Kawal Penyebaran agama Bukan Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan Sabah menyatakan penolakan mereka kepada cadangan Persekutuan memperkenalkan akta baru bagi mengekang penyebaran dan pengembangan agama selain Islam.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pendirian itu diambil berdasarkan kepada situasi Sabah yang mempunyai pelbagai kaum dan agama namun tetap hidup aman damai sejak sekian lama.

Walaupun mempunyai pelbagai kaum dan anutan kepercayaan masing-masing, katanya, penduduk Sabah mengamalkan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan tiada masalah timbul.

Menurut Hajiji lagi kepelbagaian kaum dan agama itulah yang menjadi tonggak perpaduan rakyat di Sabah.

“Maka Sabah menolak cadangan kerajaan Pusat untuk memperkenalkan Rang Undang-undang (RUU) Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam,” katanya semalam.

Dalam kenyataan sama Hajiji menambah Sabah berpegang kepada prinsip kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dua hari lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary menyatakan Putrajaya merancang untuk menggubal empat undang-undang syariah baru, termasuk berkaitan sekatan penyebaran agama lain di Malaysia.

Kata ahli parlimen Pengkalan Chepa itu cadangan tersebut adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan pusat untuk memperteguh undang-undang syariah di Malaysia, terutama di Wilayah Persekutuan.

Tiga RUU lain yang dicadangkan ialah RUU Wakaf, RUU Mufti dan RUU Mahkamah Syariah.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendedahkan cadangan itu belum dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan.

Katanya sebelum RUU itu boleh dibentangkan di Parlimen, ia mesti dipersetujui oleh semua negeri terlebih dulu.

Pada masa sama untuk rekod kebanyakan negeri memangnya sudah mempunyai enakmen yang melarang orang bukan Islam mengembangkan ajaran mereka dalam kalangan orang Islam.

Ketika ini hanya Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang masih belum memiliki undang-undang yang berkaitan.

Dilaporkan RUU itu kemungkinan besar akan mengambil kira kesalahan yang dilakukan di alam maya, iaitu laman web dan media sosial, selain penambahan perkataan serta perbahasan yang dilarang terhadap golongan bukan Islam.

Berikutan kenyataan Ahmad Marzuk itu, sebuah kumpulan yang mewakili agama utama mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memberikan penjelasan berkaitan isu itu terutamanya mengenai undang-undang yang menyasarkan orang bukan Islam.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat