Ukir nama di Gunung Batang Tiga

- Advertisement -

MENDAKI sambil merintis laluan baharu diikuti dengan perkhemahan dan perkelahan di tepi sungai dalam hutan umpama satu ‘pakej percutian lasak’ yang menyeronokkan.Walaupun terpaksa memikul beban berat, ia tidak menjadi masalah besar kepada 13 peserta yang menyertai aktiviti ‘outdoor’ di Kuala Kubu Bharu, baru-baru ini.

Bagaimanapun, merintis atau membuka jalan untuk menuju ke puncak setinggi 1,200 meter adalah pengalaman baharu kepada sebahagian besar peserta aktiviti ini. Gunung yang belum bernama itu kemudian dinamakan Batang Tiga disebabkan terdapat tiga pohon balak yang tumbuh berjajaran antara satu sama lain di puncaknya.

Diketuai oleh Pengarah Urusan Summit Attack Resources (SAR) yang juga penganjur aktiviti ini, Mohd Fakrul Munir atau lebih senang disapa Loe, hanya sekadar memberitahu kami akan melalui trek curam, licin dan banyak pacat. Ia juga mengambil masa kerana perlu menebas, memotong dahan dan pokok kecil sepanjang membuka jalan nanti.

Pada hari pertama, kami hanya berjaya membuka jalan sekitar 300 meter yang mengambil masa lebih tiga jam. Seterusnya, bersambung pada keesokannya untuk merintis sejauh 900 meter lagi yang mengambil masa hampir lima jam.

Mendaki dan merintis trek pada musim hujan bukanlah kerja mudah, langkah tidak boleh laju, malah perlu lebih berhati-hati. Semakin tinggi, laluan lebih sukar kerana tebing yang curam dan licin sehingga mudah tergelincir ke jurang yang dalam, ditambah pula kena membersihkan setiap laluan daripada pokok kecil berduri, menyusup rimbunan buluh, batang pokok tumbang dan dahan yang berselerakan.

Puncak Gunung Batang Tiga tidak menyajikan pemandangan, sebaliknya satu kawasan rata yang agak luas dipenuhi pokok besar. Pada titik tertinggi itu terdapat tiga batang balak yang ‘berdiri sebelah menyebelah’. Di sinilah, kami merakamkan gambar, melepaskan lelah dan menikmati makanan tengah hari.

Biarpun ia puncak gunung tanpa pemandangan, namun menjanjikan cabaran tersendiri berbeza dengan gunung lain. Laluan pacak tanpa ‘diskaun’ hingga ke puncak, menempuh trek penuh pokok duri, rotan, permukaan trek yang licin dan serangan pacat sudah tentu mencabar mental serta fizikal pendaki.

“Saya bersyukur kerana perancangan untuk meneroka laluan ini berjalan lancar dan berjaya. Kita harap laluan ini akan menjadi lokasi alternatif bagi mereka yang meminati aktiviti mendaki selain laluan gunung dan bukit sedia ada di kawasan KKB ini.

“Malah saya mengkaji dan merancang pendakian sebulan lebih awal bagi mencari laluan yang mudah, cepat dan selamat berdasarkan peta, kompas serta GPS. Saya perlu elak laluan yang terlalu curam, jauh dan berbahaya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Ketika pendakian pula, kami perlu menanda laluan dengan sawar-sawar (pita) pada pokok bagi mengenal pasti laluan yang sudah dirintis supaya tidak tersesat dan terkeliru,” katanya.

SALING bekerjasama bantu rakan ketika arus deras.
SALING bekerjasama bantu rakan ketika arus deras.

 

LOE (kanan) memberi penerangan.
LOE (kanan) memberi penerangan.

 

Selain Loe, turut serta dalam aktiviti ialah pelakon Azhan Rani, Pacan atau Kamisan Abu Bakar, Fakhrul Radzi, Akim, Raja Aizul, Din (Norzasrudin Mohamed Nor), Eima, Izah (Marina Azizah), Hani, Nicol (Fariza Hanum), Zarina dan Azmi Ariffin.

Lokasi tapak perkhemahan kami di Kem BMW kira-kira enam kilometer dari Kampung Pertak, iaitu sekitar dua jam berjalan menyusuri jalan tepi sungai, belukar dan hutan buluh. Perjalanan yang santai saja kerana tidak perlu mendaki.

Beberapa kali merentas sungai sebelum sampai ke tapak perkhemahan. Sebelum itu kami masing-masing memikul beban sekitar 20 kilogram setiap seorang, kebanyakannya makanan. Itu semua tidak jadi masalah kepada kami, ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Kem BMW terletak di tepi sungai. Lokasi yang strategik untuk mendapatkan air dan kedudukannya agak tinggi dari paras sungai. Sepanjang tiga hari berkhemah ini, kami memang dijamu dengan makanan sedap dimasak sendiri oleh Loe. Menu istimewa sudah tentu mi udang, selain meratah ketam dan tiram. Tidak pernah terfikir untuk menikmati hidangan ‘mewah’ ini di tengah hutan pada waktu malam, kemudian ada pula nasi daging dengan gulai batang pisang dan kuetiau sup.

“Kita bawa barang macam hamba, tapi makan macam raja,” kata Loe bercakap mengenai sajian yang disediakannya.

Lepak di tepi unggun api, berborak sambil makan kuaci, menghirup kopi dengan mencicah biskut kering membuatkan ia satu suasana yang sangat santai, sekali gus melupakan keletihan melakukan pendakian dan merintis ke puncak Gunung Batang Tiga.

Aktiviti malam kedua terganggu dengan hujan yang tidak berhenti sejak jam 9 malam sehingga tengah hari keesokannya. Malam tidak tidur lena bukan kerana kesejukan semata-mata, tetapi disebabkan khemah (fly) tidak kalis air pula. Ini menyebabkan air menitik dan membasahi hampir keseluruhan alas kanvas (ground).

Hujan yang tidak henti walaupun tak lebat menyebabkan paras air meningkat dan deras. Bunyi deras aliran sungai ini membuatkan masing-masing terfikir bagaimana kami hendak menyeberang ketika berjalan pulang nanti?

Malah hujan yang berlarutan itu juga menyebabkan Loe mengarahkan kami berkemas untuk keluar dari hutan. Ia bagi memastikan kami tidak terkandas disebabkan kepala air. Bahkan, pada ketika itu, laluan merentas sungai juga agak sukar kerana air sudah naik melebihi paras pinggang selain alirannya yang deras.

EKSKLUSIF di tengah hutan, mi udang dan ketam.
EKSKLUSIF di tengah hutan, mi udang dan ketam.
PENULIS (berdiri dua dari kanan) bersama rakan di puncak Gunung Batang Tiga.
PENULIS (berdiri dua dari kanan) bersama rakan di puncak Gunung Batang Tiga.

 

Trip rintis pengubat kekecewaan

Bagi Azhan Rani yang meminati aktiviti ‘outdoor’, merintis trek baharu ke puncak yang dinamakan Gunung Batang Tiga sedikit sebanyak mengubati kekecewaannya kerana tidak dapat mendaki Gunung Siguniang di Chengdu, China yang sepatutnya dijadualkan pada Oktober tahun lalu. Ia terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

“Ini juga adalah aktiviti pembuka tirai tahun 2021 bersama SAR. Kami menyahut cabaran merintis sekali gus membuka laluan ke puncak yang belum pernah dinamakan lagi. Apa yang lebih menarik, puncak yang berjaya kami takluk ini adalah puncak yang boleh diisytiharkan sebagai puncak tertinggi di Kuala Kubu Bharu iaitu 1,200 meter dari paras laut, melebihi puncak Bukit Kutu yang menjadi ikonik selama ini di KKB.

“Aktiviti ini meninggalkan banyak pengalaman selain menambah ilmu pendakian saya bersama rakan dalam SAR. Antara yang manisnya, saya bangga dan bertuah sebagai orang yang lahir dan membesar di KKB, dapat sama-sama mencipta nama meneroka Gunung Batang Tiga. Secara tidak langsung, ia hadiah tahun baharu istimewa buka saja untuk saya tetapi juga kepada mereka yang ingin mendaki ke puncak ini,” katanya.

Apa-apa pun bagi Azhan, trip rintis ini berbeza dengan pendakian biasa yang pernah ditempuhi.

“Sudah tentunya cabaran utama ialah menempuh hutan rimba yang belum pernah dijejak. Kami perlukan pasukan yang mantap dan teratur. Pada peringkat awal, penyelidikan mengenai puncak ini dimulakan oleh ketua misi ini, Loe yang mempunyai latar belakang dan pengalaman luas dalam aktiviti pendakian.

“Pengetahuan dalam ilmu membaca peta dan kemahiran menggunakan kompas serta GPS sangat diperlukan. Setiap pendaki mempunyai tugas dan tanggunjawab tertentu dalam trip ini. Selain menggalas barangan keperluan dan makanan, kami perlu melaksanakan tanggungjawab menebas dan membuat laluan dari tapak perkhemahan sampai ke puncak.

“Aturan kedudukan kami dalam barisan pendakian diberi dari awal. Laluan kami juga akan ditanda (marking) setiap 10 meter bagi memudahkan pendakian pergi dan balik tanpa sesat. Tanda ini dibiarkan untuk pendakian akan datang atau kemudahan pendaki lain yang merancang untuk mendaki ke puncak ini,” katanya.

Azhan juga memuji semua peserta kerana memberikan kerjasama sangat baik bak keluarga walaupun belum pernah kenal selain datang daripada pelbagai latar pengalaman dan kerjaya.

“Segala beban menjadi ringan atas semangat kerja berpasukan dan keceriaan yang dicetuskan dalam menjadikan pendakian yang sukar ini tidak membebankan. Tak lupa kepada ketua pasukan kami yang menyediakan kami dengan menu istimewa yang pastinya akan dirindui,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat