KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Afif Bahardin berkata, sudah tiba masanya Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali memimpin Perikatan Nasional (PN) sebagai Pengerusi.
Menurut Afif, PN memerlukan seorang pemimpin yang boleh melihat jauh ke hadapan, mengurus perbezaan dengan hikmah dan mengembalikan fokus kepada perjuangan rakyat.
“Keputusan Pas untuk menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu membuka satu lembaran baharu dalam perjalanan PN.
“Pada saat-saat seperti ini, PN tidak memerlukan retorik yang membakar emosi. PN memerlukan seorang pemimpin yang mampu menyatukan, menenangkan keadaan dan membina semula kekuatan gabungan dengan berpaksikan prinsip serta matlamat yang lebih besar daripada kepentingan mana-mana parti.
“Sebab itulah ramai melihat bahawa sudah tiba masanya Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali memimpin PN sebagai Pengerusi,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Adun Taman Medan itu memberitahu, sejak penubuhan PN, Muhyiddin bukan sekadar seorang pengasas. Beliau adalah titik temu yang berjaya menghimpunkan pelbagai aliran pemikiran politik dalam satu wadah perjuangan.
Justeru kata Afif, dalam suasana politik yang sering dipenuhi persaingan ego dan perebutan pengaruh, beliau memilih pendekatan sederhana, inklusif dan berteraskan musyawarah.
“Hari ini, apabila landskap politik berubah, PN memerlukan semula kepimpinan yang mampu menarik sokongan rakyat yang lebih luas — bukan hanya penyokong tegar parti, tetapi juga golongan Melayu moderat, pengundi atas pagar, anak muda profesional dan rakyat yang mahukan kestabilan.
“Realitinya, kekuatan PN dalam pilihan raya yang lalu tidak datang daripada satu parti semata-mata. Kemenangan itu lahir daripada gabungan pelbagai kelompok rakyat yang melihat PN sebagai alternatif kepada politik patronage dan kegagalan kerajaan semasa.
“Muhyiddin mempunyai kredibiliti untuk membawa agenda penyatuan Melayu yang inklusif — Melayu yang kuat sebagai teras negara, tetapi pada masa yang sama menjadi payung kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
“Malaysia hari ini memerlukan kepimpinan yang menyatukan, bukan memecahkan. Kepimpinan yang membina jambatan, bukan tembok.
“Atas sebab itu, saya percaya ramai penyokong PN akan bersetuju dengan satu seruan yang semakin kuat kedengaran:
Kembalikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN. Demi kestabilan, demi penyatuan dan demi masa depan perjuangan yang lebih besar,” tegasnya.



