Perak Baru Akan Kukuh Jika UMNO Dan DAP Bersama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Jika kerajaan baru Perak hendak menjadi kerajaan yang kukuh dan mencerminkan kepelbagaian kaum di negeri itu, ia perlu melihat peranan dua parti terbesar dalam DUN iaitu UMNO dengan 25 kerusi dan DAP 16 kerusi.

Pendapat ini disuarakan oleh wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin.

Ujar beliau, UMNO tentu sedar bahawa Barisan Nasional (BN) mungkin kembali berkuasa hanya jika berjaya memperoleh semula sebahagian undi Cina dan India.

Tetapi kata A. Kadir, harapan ini amat tipis kalau ia terus bergantung kepada MCA dan MIC.

Beliau menambah, gabungan undi UMNO dan DAP lah yang menamatkan riwayat kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak Jumaat lalu.

“Oleh sebab itulah tawaran kerjasama DAP dalam penubuhan kerajaan baru Perak adalah relevan walaupun mungkin sukar dilaksanakan.

“Secara zahirnya UMNO masih mahu menganggotai kerajaan PN bersama Bersatu dan Pas namun tindakannya mengundi bersama Pakatan Harapan (PH) bagi menyingkirkan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, telah mengeruhkan perhubungan sesama mereka.

“Tanpa UMNO, PN tidak cukup bilangan untuk kembali berkuasa. Inilah bahana rampasan kuasa tebuk atap oleh kerajaan PN. Khianat mengkhianati menjadi darah daging,” tempelaknya.

Kata A. Kadir dalam keadaan yang terdesak itulah UMNO terpaksa bermain kayu tiga dengan pihak-pihak yang juga berada dalam situasi yang sama iaitu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tambahan pula, ketua nombor satu UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, terpaksa memikirkan nasib masa depannya jika didapati bersalah dalam kes-kes yang dia sedang dibicarakan sekarang.

“Yang anehnya pemimpin yang berpotensi macam Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, tidak pula menyerlah apatah lagi ditonjolkan. Dikojolkan mungkin ada,” catatnya di Facebook.

A. Kadir memberitahu, inilah hebatnya BN sekarang dalam negara menghadapi berbagai-bagai masalah dan hidup rakyat jelata makin tersepit, mesyuaratnya biasa-biasa saja. Inilah gambaran yang kita dapat daripada kenyataan ketua-ketuanya.

“Hatta krisis politik luar biasa yang sedang berlaku di Perak itu pun mereka tidak bincang secara terperinci. Malah mengikut kefahaman Bendahari Agungnya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, krisis itu sudah sampai ke penghujung atau dalam ungkapan Inggeris “has run its course”.

“Mungkin itulah pembacaan Hishammuddin dan ketua-ketua parti anggota BN atau BN tidak pun relevan dalam krisis di Perak.

“Apa tidaknya, semua kerusi BN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi oleh calon-calon Umno. Calon-calon MCA dan MIC, kata orang, buat habis beras saja. Undi Cina dan India di negeri itu dimonopoli oleh DAP,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat