KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung penularan video memaparkan Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah, didakwa menembak seekor lembu korban menggunakan senapang patah, namun siasatan awal berhubung insiden itu sedang dijalankan.
Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihak polis sudah mengambil maklum mengenai rakaman video berkenaan yang tular di media sosial sejak semalam.
“Insiden (video tular) terbabit sudah berada dalam pengetahuan pihak polis. Setakat ini belum ada sebarang laporan polis diterima, namun siasatan awal sedang dilakukan,” katanya menurut BH di Kangar pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Yusharifuddin berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti jenis peluru dan senjata yang digunakan dalam kejadian berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mengambil keterangan Menteri Besar dalam masa terdekat bagi membantu siasatan lanjut berhubung insiden itu.
“Sama ada peluru yang digunakan itu adalah peluru hidup atau bukan, kita masih dalam siasatan.
“Kita akan panggil Menteri Besar untuk mendapatkan keterangan berkaitan isu ini,” katanya.
Terdahulu, tular satu rakaman video yang mendakwa Menteri Besar Perlis bertindak menembak lembu menggunakan selaras senapang patah bagi tujuan ibadah korban bersempena sambutan Aidiladha.
Abu Bakar bagaimanapun memberitahu, tindakan melepaskan tembakan ke arah seekor lembu korban yang tular di media sosial terpaksa dilakukan bagi mengelakkan haiwan yang sedang mengamuk itu mendatangkan kecederaan kepada petugas.
Menteri Besar Perlis itu memberi penjelasan berhubung insiden ketika Program Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis itu bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan orang ramai.
Beliau berkata, tembakan itu hanya dilepaskan ke arah kaki lembu berkenaan yang terlucut ikatannya sebelum penyembelihan dilakukan seperti biasa.
“Kita buat program korban membabitkan 25 lembu. Hanya seekor yang talinya terlepas, lari dan mengamuk, jadi kita terpaksa bertindak (menembak) bagi mengelak sebarang mudarat atau bahaya kepada petugas atau orang awam.
“Lembu yang kita tembak itu tidak mati, tembakan dilepaskan mengenai kaki dan kemudian kita melakukan proses penyembelihan seperti biasa.
“Saya sudah sembelih 24 ekor lembu, yang satu ini sahaja kita tembak di kaki sebelum sembelih,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis itu berkata, tindakan pantas itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian tidak diingini memandangkan terdapat kes amukan haiwan korban yang meragut nyawa di negeri lain.
“Saya tembak bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti yang berlaku di beberapa lokasi lain di seluruh negara sehingga ada kes yang mengorbankan nyawa akibat ditanduk lembu,” katanya.



