Azizah tambah Rumah Rakit guna dana AIM

- Advertisement -

Sebut sahaja Tasik Kenyir, pastinya yang terbayang di ruangan mata ialah ketenangan air dan keindahan alam semulajadinya yang masih terpelihara. Tidak ketinggalan deretan rumah rakit yang tersadai di pinggir tasik menggamit pelancong.

Antara rumah rakit yang popular dalam kalangan pelancong terutama kaki pancing ialah Teratak Damai D’ Kenyir milik Azizah Mat Daud, 65 dari Kampung Baru, Langkap, Setiu.

Terletak di kaki Gunung Bongsu, rumah rakit yang berkeluasan kira-kira 1,000 kaki persegi dengan enam bilik itu sentiasa menjadi pilihan pelancong kerana dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk peti ais, dapur, peralatan memasak, tandas, katil dan tilam tambahan yang mampu memuatkan sehingga 25 orang dengan selesa pada satu-satu masa.

Malah menurut Azizah, harga yang ditawarkan juga lebih rendah antara 20 hingga 30 peratus berbanding pengusaha-pengusaha lain yang beroperasi di kawasan berhampiran.

“Saya mempunyai dua buah rumah rakit iaitu Teratak Damai dan Teratak Impian yang baru sahaja siap bulan lalu. Kedua-duanya mempunyai keluasan yang hampir sama, begitu juga jumlah bilik dan kapasiti penumpang.

“Tetapi harga yang ditawarkan berbeza kerana kami menyediakan pakej kemudahan tambahan yang berlainan. Untuk penginapan dua hari satu malam di Teratak Damai, caj dikenakan hanya RM500 bersama pakej satu bot manakala Teratak Impian, bayaran sebanyak RM800 untuk dua hari satu malam dengan pakej satu bot dan dua buah kayak untuk pelancong berekreasi menikmati alam semulajadi,” katanya.

Menurut Azizah, selain sewa penginapan yang murah, pelanggannya juga sering menzahirkan rasa puas hati dengan layanan dan perkhidmatan tambahan yang diberikan pihaknya secara percuma.

“Semua pelancong atau pelanggan yang menginap akan saya bekalkan dengan pelbagai jenis ikan seperti baung, patin dan toman secara percuma supaya mereka gembira.

“Malah jika berkelapangan, anak perempuan saya akan tolong masakkan hidangan untuk mereka yang adakalanya tak berapa mahir memasak ikan tasik yang dipancing,” katanya yang dibantu suami, Mohd Razali Mat Sin, 65, dan anaknya, Hamidah Majid, 52.

Disebabkan sikapnya yang mudah bertolak ansur, kebanyakan pelanggan Azizah adalah pelanggan berulang yang datang daripada seluruh pelusuk negara. Malah tempahan juga sentiasa penuh terutama pada musim cuti sekolah, cuti umum dan hujung minggu.

Namun menurut Azizah, kejayaannya hari ini tidak datang bergolek. Pelbagai cabaran dan ujian terpaksa ditempuhi sebelum beliau mampu menuai hasil seperti hari ini.

“Saya bermula dengan rumah rakit pertama pada 2019, bermodalkan simpanan sendiri sebanyak RM50,000 hasil kerja kampung berpuluh tahun.

“Tetapi modal tidak cukup sehingga menyebabkan saya terpaksa mengambil masa lama, lebih kurang setahun untuk menyiapkannya,” katanya.

Bagaimanapun beliau bernasib baik kerana mendapat bantuan kewangan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM30,000.

Dengan wang tersebut, Azizah akhirnya berjaya menyiapkan rumah rakitnya pada 2020 dan mampu memperoleh purata pendapatan bersih sekitar RM5,000 sebulan.
“Pendapatan yang saya terima tidaklah begitu tinggi kerana kadar sewa yang saya kenakan agak murah. Tetapi ini sebenarnya cara saya bersedekah dalam berniaga.

“Terima kasih kepada AIM yang tak jemu-jemu memberikan sokongan kewangan daripada mula sehingga saya berjaya menambah rumah rakit kedua pada tahun ini,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat