KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mencadangkan supaya individu yang memperoleh pendapatan tinggi dalam sektor awam dan swasta dipotong sebanyak 10 peratus bagi membantu golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Dalam catatan di blognya Chedet.cc, bekas Perdana Menteri itu memberitahu saranannya itu adalah pengorbanan yang tidak akan membebankan golongan kategori berkenaan.
Bahkan, katanya, wang yang diperoleh daripada pemotongan tersebut berupaya membantu rakyat yang kehilangan kerja dan tidak mempunyai pendapatan.
“Pandemik ini memberi paling banyak kesan kepada golongan miskin. Bagi mereka yang kehilangan kerja dan peniaga kecil, mereka tidak mempunyai pendapatan langsung.
“Mereka ini kais pagi makan pagi. Mereka juga tidak memiliki wang untuk membeli makanan. Mereka akan kelaparan,” catat Ahli Parlimen Langkawi itu.
Bukan itu saja, Dr Mahathir dalam tulisannya turut mengulas beberapa perkara utama yang bertumpu kepada isi Belanjawan 2021 kerajaan yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz pada Jumaat, lalu.
Pengasas parti Pejuang itu menyatakan keresahannya terhadap jawatan menteri dan ahli Parlimen yang dilihat bermewah dengan nilai elaun yang tinggi sejak 15 tahun kebelakangan ini.
Dr Mahathir berkata, golongan itu disalurkan peruntukkan untuk pelbagai jenis elaun dengan kadar sehingga 25 peratus setiap kali kenaikan.
Ujar beliau, tindakan tersebut menjadikan ramai orang mahu memegang jawatan sebagai ahli Parlimen dan menyertai jemaah menteri.
“Adalah lebih baik sekiranya jawatan-jawatan ini dilihat kurang menguntungkan (pada tatapan awam),” katanya.
Beliau menambah, faktanya Belanjawan 2021 yang baru dibentang itu mendapat reaksi kurang senang daripada orang ramai.
“Saya berharap belanjawan itu ditambah baik supaya menjadi lebih realistik, barulah blok pembangkang dan bebas akan menyokong,” jelasnya.