Pengundi majoriti senyap cari wakil rakyat tawar penyelesaian praktikal, tulus berkhidmat – Salleh Keruak

KUALA LUMPUR – Pilihan raya tidak lagi ditentukan semata-mata oleh penyokong tradisional sebaliknya, ia akan banyak dipengaruhi oleh pengundi baharu dan majoriti senyap yang mencari kepimpinan berwibawa, penyelesaian yang praktikal dan komitmen yang tulus untuk berkhidmat kepada rakyat.

Bendahari Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak menjangkakan, semakin ramai pengundi menilai parti dan calon berdasarkan isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka seperti ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan, tadbir urus, kredibiliti kepimpinan dan hala tuju masa depan.

“Kini terdapat lebih ramai pengundi muda dan pengundi baharu dalam sistem. Pada masa yang sama, kelompok penyokong tegar semakin berkurangan manakala majoriti senyap terus berkembang. Keupayaan memenangi keyakinan mereka mungkin menjadi faktor penentu keputusan pilihan raya.

“Pengundi juga semakin melihat melangkaui jenama parti.

“Mereka mahukan wakil rakyat yang mudah didekati, sentiasa bersama rakyat dan berkhidmat sepanjang tempoh perkhidmatan, bukan hanya muncul ketika musim pilihan raya dan menghilang selepas itu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan dalam masa terdekat, parti-parti politik perlu menyedari bahawa landskap pilihan raya telah banyak berubah.

“Pilihan raya kali ini turut membawa cabaran tersendiri apabila terdapat parti-parti yang bekerjasama di peringkat Persekutuan tetapi mungkin bertanding antara satu sama lain di peringkat negeri.

“Oleh itu, kempen perlu dijalankan secara profesional dan berhemah. Fokus harus diberikan kepada isu negeri, dasar, prestasi serta penyelesaian yang ditawarkan, bukannya serangan peribadi atau usaha mewujudkan permusuhan politik.

“Pemimpin dan jentera parti juga perlu berhati-hati dalam setiap kenyataan yang dikeluarkan. Dalam era media sosial, satu kenyataan boleh menjadi tular dengan pantas, mencetuskan ketegangan yang tidak perlu dan mengundang pertembungan terbuka yang berpanjangan.

“Persaingan sihat adalah sebahagian daripada demokrasi. Namun kematangan politik menuntut parti-parti bersaing berdasarkan idea, prestasi dan kepimpinan, sambil mengekalkan rasa hormat serta hubungan kerja yang baik,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat