KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa supaya rakyat diberikan peranan yang lebih penting dalam soal pelaksanaan apa-apa perkara dan dasar kerajaan supaya ia boleh dipantau supaya tidak memberi kesan yang buruk kepada pengguna.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata rakyat perlu ada satu kaedah untuk menyampaikan apa-apa masalah yang dihadapi supaya ia dapat diselesaikan bersama.
“Saya tidak fikir rakyat seharusnya berterusan biarkan diri mereka seratus peratus diuruskan oleh orang yang kita (rakyat) pilih (undi) yang kadang-kadang amat menakutkan.
“Apabila pilihan (wakil rakyat) tidak seperti yang diharapkan, maka kita lihat kesan kepada pengundi akan menjadi bertambah teruk dan mereka kemudian dibiarkan sahaja menghadapi masalah,” katanya ketika dihubungi Suara TV hari ini.
Beliau berkata dasar perlu dilihat kembali untuk memberikan peluang kepada rakyat untuk terlibat bersama dengan bersungguh-sungguh supaya lapisan masyarakat paling bawah iaitu rakyat ada peranan yang kuat.
“Pada pilihan raya kali ini, rakyat diberi peranan untuk bersama mengurus tadbir pelaksanaan sesuatu perkara di dalam negara,” ujarnya.
Datuk Nadzim berkata setiap lima tahun rakyat akan mengundi calon mereka tetapi selepas dipilih pengundi akan dilupakan dan dibiarkan berdepan masalah setempat tanpa dibela.
“Ini sebenarnya peranan rakyat, sekarang tidak boleh lagi sekadar ikut sahaja, harga naik ikut, ada masalah ikut, tidak boleh lagi semua sekadar ikut sahaja,” katanya.
Pilihan yang dibuat ketika hari mengundi perlu memilih wakil yang boleh dan mampu membantu pengundi bukan sekadar pangkah di kertas undi dan calon berkenaan kemudian boleh jadi wakil rakyat, katanya.
Datuk Nadzim Johan mengambil contoh masalah pengurusan tanah rizab Melayu di Perak masih belum selesai.
“Tanah rizab Melayu ni, jika di Perak kalau ikut luas tanah jika kecil kira-kira 4,000 ekar, jika besar 40,000 ekar yang telah ditukar milik kepada orang bukan Melayu.
“Jadi, di mana hak orang Melayu dan apa hak di dalam undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu berkenaan?” katanya.
Selain rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu dilibatkan bersama dalam urus tadbir negara kerana pihak NGO kebiasaanya begitu arif tentang masalah yang dihadapi oleh rakyat di peringkat akar umbi.



