Nostalgia sepenuh jiwa

- Advertisement -

PENYANYI otai, Datuk Hattan mengotakan janjinya membawa peminat mengimbau nostalgia dan menyampaikan persembahan penuh jiwa di Konsert Hattan 35 Years Journey.

Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin, 57, buat julung kali menjayakan konsert solo berskala mega itu di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Konsert anjuran Mewah Event Management sempena 35 tahun karier penyanyi bersuara ‘jantan’ dari Seri Menanti, Negeri Sembilan ini berlangsung selama tiga jam.

Meskipun usianya melewati separuh abad, namun vokal Hattan tetap hebat.

Disamping menyanyi beliau turut bercerita mengenai gambaran perjalanan karier seninya selain sejarah penghasilan lirik dan lagu yang didendangkan pada malam itu.

Sebelum bergiat aktif sebagai penyanyi solo beliau pernah menganggotai kumpulan FRU dan merakamkan album berjudul Kelahiran pada 1988.

Hattan memulakan persembahan pada konsert itu menerusi lagu rancak, Biso Bonar dan Hitam Bukan Impian.

Bertutur dengan loghat Negeri Sembilan membuatkan peminat mudah terhibur dan berasa lebih dekat dengan penyanyi itu.

Rocker legenda ini turut berkongsi kegembiraan dan rasa syukur bagaimana nama pentasnya membawa rezeki yang baik.

“Tanpa anda semua tiada saya di sini. Tanpa orang sekeliling kita termasuk keluarga kita tidak akan jadi apa-apa” kata Hattan.

 

HATTAN berduet bersama anaknya, Adam menerusi lagu Gadis Jolobu.

 

Beliau turut memuji barisan pemuzik yang memimpin konsert itu dan menggelarkan mereka sebagai ‘The Lecturers’ kerana menurutnya mereka terdiri daripada pensyarah atau pakar dalam bidang masing-masing.

Mereka adalah Pa’ang pemain perkusi, Ujang Exists (dram), Fly Halizor (gitar bass), Firdaus Mahmud (keyboard), Mohar (seruling), Jad Lobo & Baby Akmal (penyanyi latar), Ritz Metalasia (gitar), Nan Saturnine (gitar) dan Rozario Rasul sebagai pengarah muzik.

Semua mereka antara ‘orang penting’ yang terbabit dalam pembikinan album studio Hattan sepanjang kariernya.

Hattan turut menyebut beberapa nama penting yang membawanya ke dalam industri seni antaranya ‘sifu’ Datuk M Nasir dan penulis lirik, Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq.

M Nasir turut mencipta beberapa lagu nyanyian Hattan antaranya Sekuntum Mawar Merah, Gerhana, Tiara dan banyak lagi yang turut disampaikan pada konsert itu menerusi segmen khas ditujukan buat Mentor.

Hattan juga tidak dapat menahan sebak ketika menyampaikan lagu Rendang Tak Berbuah yang mengingatkan kenangan bersama arwah ibunya, Allahyarham Hindon Md Sani yang meninggal dunia kerana penyakit jantung pada 7 Disember lalu.

Pada konsert itu juga Hattan menampilkan anak lelakinya, Adam Eiman sebagai penyanyi undangan. Adam menyanyikan lagu solo berjudul Takdir dan turut berduet dengan ayahnya menerusi lagu Gadis Jolobu.

Di penghujung persembahan Hattan tidak ketinggalan menyampaikan lagu ‘hits’ nyanyiannya dan bernada melankolik seperti Sekuntum Mawar Merah, Arca, Dia, Rendang Tak Berbuah, Memburu Rindu dan Mahligai Syahdu.

Sebanyak 23 lagu dinyanyikan, Hattan langsung tidak kelihatan penat, malah mendapat tepukan gemuruh daripada penonton. Dibantu dengan sistem bunyi yang baik persembahan itu ternyata memberikan kepuasan buat peminat.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat