Setia Kepada BN Bukan Buta Tuli Atau Takut – Zahid

KUALA LUMPUR – Kesetiaan kepada Barisan Nasional (BN) bukan bersifat membuta tuli atau takut pada sesiapa, tetapi kerana keyakinan tinggi terhadap asasnya yang komprehensif dan mencakupi kepentingan rakyat serta negara.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesetiaan juga atas kepercayaan dan ketetapan hati inilah satu-satunya gabungan politik yang mencapai maksud pembentukan sebuah kerajaan rakyat oleh rakyat untuk rakyat.

“Keyakinan bertambah teguh tatkala menyaksikan kegagalan demi kegagalan gabungan politik lain mentadbir dan menguruskan negara selepas diberi peluang oleh mereka yang ‘bereksperimen’,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Zahid berkata demikian mengingatkan penyokongnya agar tidak gundah-gulana, duka dan lesu terhadap keyakinan dan kesetiaan itu tatkala perajurit BN sedang menuju PRU-15 dengan semangat dan keazaman penuh membara.

Kata Zahid, perjuangan BN adalah rakyat dan negara, maka tiada apa yang perlu dikhuatiri untuk sebuah kebangkitan BN yang luhur dan murni.

Kita maju dan kita mara bersama penuh bijaksana dan pengetahuan, kata beliau.

“Kesetiaan kepada BN antara lain bermaksud sentiasa mengutamakan gabungan politik ini tanpa rasa gentar dan gusar dalam keadaan apa sekali pun.

“Suatu ketika saya bertegas mempertahankan BN walau ditekan dan diugut sesudah PRU-14 adalah kerana nilai kesetiaan yang tidak berbelah bahagi,” ujarnya.

Menurut Zahid lagi, sesungguhnya tujuan BN adalah asas kepada kemakmuran dan kestabilan kerana memupuk dan mengekalkan satu bangsa Malaysia yang hormoni dan bersatu-padu serta berusaha untuk mencapai pembangunan jasmani dan rohani.

“Mengekalkan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana jua di dalam Persekutuan.

“Menegak dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negera, berusaha untuk mewujudkan suatu masyarakat adil dan saksama. Begitu juga mengeratkan lagi perhubungan dalam kalangan ahli,” ujarnya.-