Karya RTM suburkan aspirasi Keluarga Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sejajar gagasan kerajaan mempromosikan aspirasi Keluarga Malaysia yang menjadi teras pentadbiran negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjadikan konsep diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai keutamaan dalam produk terbitan produksi mereka.

Memperincikan perkara itu, Penolong Pengarah Unit Drama TV RTM, Sarena Mohd Salleh, berkata sebagai stesen penyiaran milik kerajaan sudah menjadi tanggungjawab memperhebatkan idealisme berkenaan agar matlamat memperkenalkan aspirasi Keluarga Malaysia tercapai.

“Produk unit drama terbitan RTM seperti telefilem, drama bersiri dan sitkom memang diterapkan konsep Keluarga Malaysia seperti semangat perpaduan, integrasi nasional dan kebersamaan.

“Kami akan mengetengahkan lebih banyak drama memaparkan realiti kehidupan yang lebih dekat dengan rakyat, bukan naskhah memaparkan kehidupan urban seperti yang sering ditonton di kaca televisyen (TV) ketika ini,” katanya kepada BH Online.

Enggan berlengah, Sarena memaklumkan gagasan kerajaan itu sudah mengisi produk terbitan seperti telefilem, drama bersiri dan sitkom.

“Sebagai permulaan, konsep aspirasi keluarga Malaysia ini diketengahkan menerusi sitkom terbitan produksi RTM berjudul Apartmen Putra.

“Menerusi sitkom disiarkan setiap Sabtu dan Ahad ini, kami menyalurkan mesej kerajaan, namun ia bukan bersifat politik.

“Biasanya, isu diketengahkan bersifat nasional dan terkini seperti isu penularan COVID-19.

“RTM menggunakan sitkom kerana ia lebih cepat memandangkan penggambaran dibuat dalam studio,” katanya.

Sarena berkata, selain sitkom, 10 telefilem terbitan produksi RTM turut memuatkan aspirasi kerajaan.

“Antaranya, telefilem yang memaparkan kisah kekeluargaan berjudul Kayuh berkisar pengorbanan seorang bapa yang bekerja sebagai pengayuh beca.

“Turut dihasilkan, telefilem Jabat Erat-Erat yang mengisahkan kehidupan pelbagai bangsa yang juga menjadi teras kepada aspirasi ini,” tambahnya.

 

Sarena berpendapat, sudah menjadi tanggungjawab memperhebatkan konsep diperkenalkan Perdana Menteri agar matlamat aspirasi Keluarga Malaysia tercapai sebagai stesen penyiaran milik kerajaan.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Sarena berkata, syarat yang sama juga perlu dipatuhi syarikat produksi luar yang melepasi sesi saringan perolehan (pitching).

“Ketika sesi pembentangan bersama Unit Kandungan Kreatif (UKK), unit Drama TV juga terbabit sebagai panel penilai. Di situ, kami melihat konsep atau jalan cerita yang bakal dipersembahkan.

“Jika ada yang tidak menepati syarat, kami maklumkan dan minta syarikat produksi memperbaiki,” kata Sarena.

Sementara itu, kata Sarena, RTM akan kembali menerbitkan drama bersiri selepas sekian lama bergantung sepenuhnya kepada produk produksi luar.

“Sebagai permulaan, kami akan menerbitkan drama bersiri berkonsepkan patriotik yang akan menemui penonton pada bulan kemerdekaan, Ogos depan.

“Masih berteraskan aspirasi Keluarga Malaysia, drama rantaian berjudul Pekan Kecil Kampung Terpencil ini juga sebagai ‘countdown’ menuju sambutan Hari Kemerdekaan,” ujarnya.

Sarena berkata, keputusan RTM untuk kembali menerbitkan drama bersiri dilakukan untuk mengisi lompang yang tidak ditemui dalam drama terbitan produksi luar.

“Kebanyakan drama lebih bersifat komersial dan memaparkan gaya hidup urban. Ini berbeza dengan apa yang RTM ini terbitkan.

“Walaupun tidak popular kerana menongkah arus, namun, untuk produk produksi RTM, kualiti menjadi keutamaan.

“Kami mahu produk RTM mengisi ruang kosong kualiti yang dimahukan dan mampu menjadi contoh kepada produksi luar agar mereka dapat menghasilkan drama bermutu dan mencapai standard yang sudah ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud mahu produk yang dihantar ke RTM menepati kriteria ditetapkan seperti mendaulatkan bahasa Melayu, bertepatan dengan prinsip Rukun Negara dan selari dengan gagasan kerajaan mempromosikan aspirasi Keluarga Malaysia.

Kenyataan itu dibuat ketika merasmikan sesi saringan perolehan RTM untuk siaran 2023 yang diadakan di Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat