Poster Propaganda Rasis Tular Semula, Jamal Buat Laporan Polis

- Advertisement -

SUNGAI BESAR – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos membuat laporan polis terhadap seorang ahli politik yang didakwa memfitnahnya menerusi poster yang dimuat naik di laman Twitter.

Peguam yang mewakili Jamal, Datuk Mohd Imran Tamrin, berkata poster kempen itu dilihat menyemarakkan sentimen perkauman selain boleh menggugat ketenteraman awam dan berunsur hasutan.

“Kenyataan dimuat naik ahli politik terbabit menggunakan poster kempen semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 2016 jelas berbentuk fitnah yang menyentuh peribadi Jamal.

“Perkara ini (papan iklan berunsur rasis) sudah dijelaskan Jamal beberapa kali semasa kempen PRK Parlimen Sungai Besar kerana ia jelas berniat jahat,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, di sini.

Pada masa sama, Mohd Imran berkata, hantaran itu dilihat berniat jahat dan mengambil kesempatan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Kita tahu, semakin hari suhu politik meningkat dan jelas menyentuh isu perkauman, perjalanan serta keselamatan calon kita dalam tempoh berkempen.

“Demografi pengundi di Sungai Besar khususnya di Bagan Sungai Besar dan Sekinchan ini majoriti kaum Cina. Kalau mereka percaya dan terbaca akan menggugat ketenteraman awam dan menjejaskan keselamatan,” katanya.

Susulan itu, Mohd Imran meminta polis mengambil tindakan tegas supaya perbuatan sama tidak berulang.

“Saya juga menyelar tindakan parti lawan kerana tindakan ini memperlihatkan mereka tidak matang dalam politik kerana menimbulkan sentimen perkauman.

“Sepanjang kempen pilihan raya, BN tidak pernah sekali pun menyentuh isu berkaitan sensitiviti kaum dan agama apa lagi perkara menggugat keharmonian,” katanya.

Menurutnya, perkara itu perlu disiasat mengikut Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan (Akta 574) selain Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sementara itu, Jamal berkata, tindakan dilakukan parti lawan jelas menunjukkan sifat sebenar pemimpin terbabit selain membuktikan perlakuan itu tidak mempunyai modal kempen bersih melainkan bersifat rasis dan fitnah semata-mata.

“Mereka ciplak perkara lama yang bukan saya lakukan.

“Papan iklan yang dipasang pada PRK Parlimen Sungai Besar pada 2016 diakui dinaikkan oleh pemimpin parti lawan,” katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial seorang ahli politik memuat naik semula gambar poster papan iklan yang berbaur rasis digunakan dalam kempen PRK Parlimen Sungai Besar di laman Twitter.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya membuat semakan berhubung poster dimuat naik tersebut.

“Satu kertas siasatan juga sudah dibuka pada Jun 2016 berhubung isu papan iklan kempen pilihan raya terbabit.

“Polis menasihatkan orang ramai tidak memuat naik sebarang isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian dan kelancaran proses PRU-15,” katanya. – Hmetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat