“Saya nak jadi Pegawai Daerah, cikgu” – Ismail Sabri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – “Saya nak jadi Pegawai Daerah, cikgu,” ungkapan itu sering dijawab Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika diaju soalan oleh guru mengenai apakah cita-cita ingin dicapai apabila dewasa.

Mengimbau kenangannya di sekolah rendah berkenaan, beliau berkata, ketika itu hanya Pegawai Daerah (DO) adalah satu-satunya kerjaya yang dianggap cukup hebat dalam kalangan masyarakat sekitar.

“Masa kecil (di) sekolah rendah, saya nak jadi DO sebab waktu itu orang kampung hanya kenal DO paling besar (hebat). Kalau DO datang kampung, memang kami pakai baju baharu.

“Maksudnya ketika ini, pentingnya DO datang, seluruh orang kampung keluar pakai baju baharu. Jadi apabila cikgu tanya nak jadi apa, saya nak jadi DO,” katanya dalam temubual bersama radio Hot FM di Sri Pentas lapor BH pada Rabu.

Siapa sangka angan-angan menjadi pemimpin setempat akhirnya menyaksikan beliau menduduki kerusi orang nombor satu negara apabila dilantik menjadi Perdana Menteri pada Ogos tahun lalu.

Diminta bercerita kisah zaman muda, Ismail Sabri, 62, berkata, sama seperti kebanyakan kanak-kanak lelaki lain, beliau menghabiskan waktu petang bersama beberapa rakan dengan bermain bola sepak dan sering berada di posisi penyerang, selain permainan kampung seperti konda kondi serta galah panjang.

Ketika di sekolah pula, katanya, beliau paling meminati mata pelajaran Sejarah dan apabila diminta tip untuk mudah menghafal subjek itu, Ismail Sabri menegaskan ia memerlukan minat.

Walau apa mata pelajaran dipelajari, katanya, jika ia disusuli minat dan usaha mendalami, individu akan menguasai serta cepat memahaminya.

Sekiranya tanpa minat, katanya, biarpun mata pelajaran itu mudah, ia akan menjadi sukar.

“Subjek paling saya suka adalah Sejarah, sebab itu kalau saya pergi luar negara, kalau ada masa, saya akan pergi ke muzium,” katanya.

Meningkat remaja di zaman 70-an, katanya, beliau turut gemar berfesyen dengan mengenakan gaya pakaian ‘bell bottom’ yang dipadankan baju bercorak ‘kotak-kotak’, selain meminati lagu dendangan beberapa penyanyi era itu, seperti DJ Dave dan Hail Amir.

“(Kemudian) kerja pertama saya sebagai peguam, tetapi saya ada satu rahsia nak dikongsi, jawatan pertama ditawarkan dalam hidup saya adalah pembantu penyiaran radio di RTM.

“Namun, saya tak sempat pergi, masa saya tunggu keputusan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia), saya mohon kerja di RTM sebagai pembantu penyiaran, dapat kerja, lepas interview (temu duga), saya minta sebagai pembaca berita, tapi pada masa sama saya terima tawaran belajar di Fakulti Undang-Undang UM (Universiti Malaya), dan saya buat pilihan untuk sambung belajar,” katanya.

Sebaik tamat pengajian, beliau bergelar peguam dan setahun kemudian melangsungkan perkahwinan pada 1986 ketika berusia 26 tahun dengan isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

“Selepas keluar universiti umur saya 24 tahun, kemudian dua tahun saya buat ‘chambering’ dulu, sebab saya buat undang-undang, selesai chambering, kerja dan kahwin.

“Kami berkahwin awal sebab sudah tujuh tahun bercinta dengan isteri saya. Walaupun cita-cita saya waktu itu nak kahwin umur 30, tapi arwah mak kata kahwinlah,” katanya.

Berkongsi keistimewaan dimiliki isteri, benarlah kata orang ‘di sebalik kejayaan seorang lelaki, ada wanita di belakangnya’ apabila Ismail Sabri menyifatkan Muhaini insan sempurna yang sentiasa di sisi memberi sokongan dan sanggup ‘susah senang’ bersama.

Malah, kongsi Perdana Menteri, ketika dia di menara gading, isterinya sudah bekerja dan adakala membantu memberikan belanja apabila wangnya tidak mencukupi.

Ditanya tidakkah beliau mempunyai kekasih lain di universiti, Ismail Sabri pantas menjawab tiada kerana dirinya seorang yang setia dan memegang prinsip ‘hanya seorang pasangan’.

“Dia yang patut risau pada saya. sebab saya kat universiti ramai…macam-macam kan…waktu dia bekerja saya belajar, kadang-kadang duit pun dia bagi saya…pasal kita belajar, duit tak cukup, dia bantu.

“Kita satu sekolah, masa Tingkatan Enam, saya Tingkatan Enam atas, datin seri enam rendah, jadi kita mula bercinta masa itu. Kira saya ini, saya seorang setia sebab daripada mula sampailah sekarang satu sahaja.

“Mula-mula kita berkawan sahaja, sebab itu sampai sekarang dia panggil nama saya sahaja, kita close (rapat) sebagai kawan, mula-mula satu group (kumpulan) kat sekolah dulu, jadi saya nampak dia honest (jujur), tak pernah marah, penyabar,” ceritanya.

Memanggil isterinya dengan gelaran ‘Nani’, Ismail Sabri berkata, kemesraan dan keselesaan sebagai rakan sejak zaman sekolah juga menjadikan mereka lebih memahami antara satu sama lain, hubungan mudah dikendalikan dan masing-masing boleh berterus-terang.

Perdana Menteri berkata, isterinya juga seorang yang tidak garang, malah seorang yang lembut dan pemaaf serta tidak pernah memarahi anak-anak.

“Saya dan isteri tak pernah angkat suara dengan anak-anak. kalau apa cara pun kita tegur dengan baik.

“Dia (isteri) senang, perempuan ini, kalau kita berterus-terang dia okay. Kalau kita salah, kita mengaku sahajalah, minta maaf dan janji tidak akan ulang kesilapan sama,” katanya tersenyum.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat