Doktor Di Pusat Kuarantin Tampil Jawab Fitnah Al Jazeera Terhadap Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tiada pilih kasih atau diskriminasi dalam rawatan serta layanan kepada pesakit warga asing sepanjang rawatan COVID-19, tegas pegawai perubatan yang pernah berkhidmat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dekat Serdang di sini.

Dr Kenneth Wong Chen Fei menegaskan, sebagai pengamal perubatan adalah menjadi tanggungjawab mereka memberi perkhidmatan yang adil tanpa sekelumit prejudis terhadap semua pesakit, meskipun pendatang asing tanpa izin (PATI).

Anak muda berusia 28 tahun itu, berkata selepas menonton dokumentari disiarkan stesen televisyen Al Jazeera, beliau berasa terkejut dan tidak berpuas hati terhadap dakwaan dilemparkan berhubung layanan petugas barisan hadapan kepada warga asing ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.

Beliau yang kini berkhidmat di Jabatan Oftamologi Hospital Selayang, menegaskan stesen televisyen itu menyiarkan laporan mengandungi tuduhan tidak wajar terhadap pengurusan dan rawatan disediakan Malaysia terhadap PATI yang dijangkiti COVID-19, sedangkan semuanya dilayan dengan baik.

“Saya memang terkejut dan tidak berpuas hati atas tuduhan mereka. Kita sebagai doktor memberi rawatan dan layanan yang adil kepada pesakit meskipun dalam kalangan PATI.

“Langsung tidak berat sebelah dan sudah semestinya kesihatan serta kebajikan mereka tidak diabaikan seperti yang diceritakan oleh Al Jazeera dalam laporan mereka.

“Untuk makluman, PATI juga diberi ubat sama seperti pesakit rakyat Malaysia yang lain. Kita tidak mendiskriminasi mereka. Kerajaan Malaysia dan Kementerian Kesihatan melakukan yang terbaik untuk menjaga kebajikan mereka,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sepanjang tempoh lebih sebulan bertugas di pusat kuarantin berkenaan, Dr Chen Fei berkata, semua pesakit berkenaan juga disediakan makanan tiga kali sehari, selain juga dibekalkan makanan ringan di katil masing-masing.

Bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terjaga, katanya, makanan tiba pada waktu ditetapkan tanpa ada kelewatan.

“Betul, tiga kali sehari. Setiap kali tiba waktu makan, setiap pesakit akan dapat satu pek makanan mengandungi nasi, sayur dan daging (lauk) pada masa ditetapkan. Makanan memang tak lewat. Yang pasti, saya boleh cakap semua kos itu ditanggung kerajaan kita.

“Ada juga PATI yang dapat makanan lebih seperti makanan kering. Yang penting, makanan memang dijamin dan mencukupi,” katanya.

Bagi menjamin keselesaan penghuni di pusat kuarantin yang dikhususkan untuk menempatkan pesakit PATI, menurut beliau kemudahan lengkap disediakan seperti katil, pendingin hawa, peralatan mandian, baju percuma, akses tandas dan ruang bersolat.

Katanya, turut ditanggung kerajaan Malaysia adalah kos saringan yang bernilai RM300 hingga RM400 bagi setiap ujian.

“Jadi mereka (pesakit PATI) hanya rehat di pusat itu. Semuanya ditanggung kerajaan Malaysia. Apa lagi yang mereka mahukan? Kita hormati mereka sebagai manusia biasa dan mereka juga hormat kita sebagai doktor serta jururawat.

“Ingatlah, petugas barisan hadapan COVID-19 memang sudah buat apa yang diperlukan untuk kepentingan negara ketika ketika masa kritikal. Kita lakukan yang terbaik untuk menjaga keselamatan warga Malaysia.

“Matlamat satu sahaja, ia bagi membendung penularan COVID-19 dan bukan apa yang diceritakan oleh Al-Jazeera,” tegasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat