Armada Sabah, Terengganu dan Perak Tolak Cadangan Sertai Semula PH

- Advertisement -

IPOH – Susulan tindakan Armada Terengganu dan Armada Sabah yang tidak menyokong pendirian Armada Pusat untuk kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Armada Perak pula menyatakan pendirian yang sama.

Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata mereka menyokong penuh kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional.

Menurutnya, Armada Perak juga menyokong segala usaha Muhyiddin dalam memperkukuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

“Armada Perak juga mahu menyatakan bahawa pengkhianat kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah PH yang didokongi oleh PKR, DAP dan Amanah.

“Ketika Bersatu bersama dalam gabungan PH, kebanyakan pemimpin ketiga-tiga parti ini, terutamanya DAP dan PKR, tidak henti-henti mendesak Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan perdana menteri ketika itu,” katanya dalam kenyataan bersama Ketua-Ketua

Armada Bersatu Bahagian Perak yang disiarkan di akaun Facebook rasmi malam tadi.

Menurutnya, PH juga pada peringkat awal mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, namun membuat ‘U-turn’ menyokong kembali Dr Mahathir setelah melihat sokongan terhadap Anwar sebagai calon Perdana Menteri tidak mencukupi dan amat lemah.

Mohd Hafez Mubin berkata antara bukti jelas pengkhianatan parti komponen PH terhadap Bersatu ialah rakaman video seorang Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Perak yang membuat rancangan jahat untuk menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Justeru itu, Armada Bersatu Perak menolak sebarang usaha pihak tertentu untuk mengadakan kerjasama semula bersama Pakatan Harapan.

“Armada Bersatu Perak berikrar akan terus bekerja kuat untuk Bersatu dan Kerajaan Perikatan Nasional,” ujarnya.

Terdahulu Armada Terengganu dan Armada Sabah menyatakan pendirian tidak menyokong pendirian Armada Pusat untuk kembali bekerjasama dengan PH, sebaliknya menyokong penuh Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan usaha beliau dalam membentuk dan memperkukuh kerajaan bersama Perikatan Nasional.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat