Netizen Kutip Fakta Tepi Longkang Tuduh Pembalakan Punca Utama Banjir – MB Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR – Tuduhan kononnya pembalakan menjadi punca utama kepada bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di negara ini, bukanlah 100 peratus betul sebaliknya hanya persepsi disebarkan pihak tertentu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pemerhatian beliau mendapati kayu-kayu yang tersangkut di sungai atau ‘naik’ ke rumah orang akibat banjir baru-baru ini juga bukanlah kayu balak sebalikya terdiri daripada pokok yang tidak boleh dijadikan balak.

“Siapa biasa duduk dalam hutan dia memang tahu bahawa yang tersangkut itu bukan balak pun sebaliknya pokok yang memang senang tercabut. Macam yang berlaku di Titi Hayun dekat Yan sebelum ini, satu negara tuduh ada pembalakan di Gunung Jerai tetapi datang fakta dan perincian, ternyata tak ada pembalakan di Gunung Jerai.

“Kalau kita mengalah awal dan tak menjawab berhubung isu berkenaan, orang akan percaya kononnya berlaku pembalakan. Ini masalah netizen yang hanya bercakap dengan mengutip fakta tepi longkang dan reban ayam, kemudian dakwa ‘benda’ itu betul,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) bersama Universiti Sains Malaysia (USM), Permodalan Kedah Berhad (PKB), Hayun Land Sdn. Bhd., Kedah Agro Holdings Berhad dan MHC Trading Sdn. Bhd. di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, setiap fakta mahu pun tuduhan yang hendak dilakukan sepatutnya turut mengambil kira fakta dari pihak berwajib seperti Jabatan Perhutanan serta Jabatan Alam Sekitar yang akan mengeluarkan laporang lengkap.

“Kalau betul banjir besar disebabkan oleh pembalakan, di Selangor berlaku banjir besar juga tetapi tak ada pembalakan. Di Wilayah Persekutuan tak ada pembalakan tetapi fasal apa ada banjir?

“Jadi tuduhan banjir berpunca daripada pembalakan sebenarnya bukan 100 peratus betul. Masalahnya sekarang ini orang ramai terdedah kepada benda tidak berfakta untuk dipercayai yang akhirnya menjadi pegangan bahawa pembalakan adalah punca banjir,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menempelak pihak tertentu yang menggelarkan diri mereka sebagai pencinta alam sekitar namun tidak mendalami akan langkah-langkah yang diambil industri pembalakan dan penjagaan alam.

“Ada orang sebut dia pencinta alam sekitar, di mana ada balak, semua dia pegi teriak (menangis). Susahlah macam itu sebab pembalakan ada jabatan yang kawal dengan semuanya mengikut protokol antarabangsa antaranya Deklarasi Rio dan Protokol Kyoto.

“Semua peraturan ini dibuat di negara ini berdasarkan protokol yang kita tandatangani di peringkat antarabangsa dalam industri pembalakan, perhutanan dan alam sekitar. Bukan tandatangan di Facebook, Twitter atau Tik Tok kerana itu semua tak boleh pakai,” katanya.

Sebelum ini, kejadian banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung dikaitkan dengan aktiviti pembalakan berdasarkan kejadian sisa pokok kayu yang ditemui di kawasan rumah penduduk selepas air surut. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,609FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat