Keunikan sedulang nasi ambeng

- Advertisement -

KETIKA dihidang namanya dipanggil nasi ambeng, selepas dimakan atau dijamah dan dibawa pulang ke rumah ia menjadi ‘nasi berkat’.

Apa keunikan nasi ambeng ini dan mengapa pula dikaitkan dengan ‘nasi berkat’?

Mengikut kepercayaan masyarakat Jawa, nasi ambeng adalah makanan tradisi dan menu dihidangkan akan memberi keberkatan berikutan doa-doa dibacakan di dalam majlis kenduri yang dihadiri.

Biasanya ada lebih dari 10 jenis lauk-pauk untuk nasi ambeng yang dipercayai asal-usul juadah ini dari Jawa Timur, biasanya dimasak ketika kenduri, selain turut dijumpai di Singapura.

Kaedah menyediakan nasi ambeng tidak terlalu rumit dan tidak memerlukan masa lama kerana ia dimasak secara gotong-royong atau dalam bahasa Jawa dipanggil ‘rewang’.

Itulah keunikan juadah istimewa ini, melambangkan budaya dan gaya hidup bagi masyarakat Jawa di Malaysia terutama di Selangor, Johor, Melaka, Perak dan beberapa lagi kawasan lain.

Nasi ambeng dihidang di dalam talam atau dulang beralaskan daun pisang bersama pelbagai jenis lauk-pauk. Biasanya dimakan mengikut Sunnah Rasulullah secara berjemaah dan berkongsi antara empat hingga lima orang bagi setiap dulang.

Keunikan nasi ambeng bukan sekadar himpunan pelbagai jenis lauk-pauk semata-mata, malah istimewa dari segi penyediaan sehingga cara menikmati juadah itu yang jarang didapati dalam masyarakat lain.

 

Nasi ambeng dihidang di dalam talam beralaskan daun pisang bersama pelbagai jenis lauk-pauk. - NSTP/Essa Abu Yamin
Nasi ambeng dihidang di dalam talam beralaskan daun pisang bersama pelbagai jenis lauk-pauk. – NSTP/Essa Abu Yamin

 

Dinikmati beramai-ramai, lebih berkat

Meskipun kini, banyak restoran dan boleh membuat pesanan menu secara dalam talian untuk nasi ambeng dengan lauk-pauk yang mungkin sama, tetapi tetap ‘mood’ berbeza.

Set nasi ambeng dibeli dibungkus atau dipakej di dalam kotak, tidaklah boleh dipanggil ‘nasi berkat’ kerana tiada doa dibacakan ketika majlis, malah pastinya cara makan juga berbeza, iaitu bukan dinikmati secara beramai-ramai di dalam dulang seperti ketika kenduri.

Nilai persaudaraan, ukhuwah dan mengeratkan hubungan silaturahim tiada di situ kerana lazimnya makan secara bersendirian.

Ini diakui oleh penulis buku resipi masakan yang juga cef, Suwarsi M Arukin, bahawa nasi ambeng menjadi sajian utama kerana ia sering kali dihidangkan pada majlis keramaian seperti kenduri doa selamat, tahlil, bercukur dan dimakan beramai-ramai.

 

Mengikut Sunnah Rasulullah berkongsi makan antara empat hingga lima orang bagi setiap dulang. - NSTP/Essa Abu Yamin
Mengikut Sunnah Rasulullah berkongsi makan antara empat hingga lima orang bagi setiap dulang. – NSTP/Essa Abu Yamin

 

“Lebih istimewa ia membawa hasil keberkatan daripada doa-doa yang dibacakan di dalam majlis kenduri yang dianjurkan,” katanya.

“Nasi ambeng tidak berkuah dan lauk-pauknya dalam keadaan tekstur kering antaranya ayam semur (masak kicap berempah) mi goreng, serunding kelapa, ikan masin bulu ayam, sambal goreng (tempe, tauhu, hati ayam, fucuk, kentang, kacang panjang, suun) dan rempeyek melengkapkan majlis,” katanya.

‘Bontrot untuk seisi keluarga’

Suwarsi anak kelahiran Melayu Jawa dari Selangor, berkata secara tradisinya ketua keluarga yang menghadiri sesuatu majlis atau kenduri berkenaan pula hanya akan menjamah sedikit nasi itu.

“Kemudian nasi ambeng akan dibahagikan dan dibawa pulang sebagai buah tangan atau dalam bahasa Jawa dipanggil ‘bontrot’ untuk ahli keluarga di rumah.

“Apabila nasi ambeng dibawa pulang ke rumah, juadah berkenaan akan dinikmati bersama-sama ahli keluarga sekali gus dapat mengeratkan hubungan silaturahim seisi keluarga,” katanya.

Jelas Suwarsi, lebih menarik, baki nasi ambeng akan kekal tahan kualitinya dan tidak basi sehingga keesokan harinya walaupun sudah disentuh atau dimakan sedikit.

 

Mengikut Sunnah Rasulullah berkongsi makan antara empat hingga lima orang bagi setiap dulang. - NSTP/Essa Abu Yamin
Mengikut Sunnah Rasulullah berkongsi makan antara empat hingga lima orang bagi setiap dulang. – NSTP/Essa Abu Yamin

 

“Waktu dulu saya mempunyai adik-beradik ramai, kami sanggup tunggu bapa pulang daripada kenduri untuk makan nasi ambeng bersama-sama keluarga.

“Kami akan berebut-rebut makan pelbagai jenis lauk di dalam nasi ambeng. Ini secara tidak langsung menjadikan suasana meriah dan dapat mengeratkan ukhuwah hubungan kami sekeluarga,” katanya.

Tidak lapuk ditelan zaman

Kongsinya lagi, nasi ambeng ini dianggap sebagai satu simbol muafakat, perpaduan dan tolak ansur antara penduduk kampung, masyarakat atau keluarga, selain tanda berbesar hati tuan rumah kepada tetamu yang diundang ke majlis kenduri itu.

“Saya selalu berharap nasi ambeng dijadikan makanan warisan supaya dapat terus dikekalkan dan dihormati keasliannya sekali gus tidak luput ditelan zaman.

“Keunikan cara hidangan ini menjadikan nasi ambeng sebagai lambang kemuafakatan masyarakat Jawa yang wajar dikekalkan dari generasi ke generasi,” katanya.

Keenakan nasi dan lauk-pauk yang banyak dalam satu hidangan ini juga membuatkan juadah ini boleh diterima ramai dan digemari pelbagai lapisan masyarakat.

Makanan warisan Selangor

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Inilah yang dilakukan oleh 250 ahli kumpulan rewang bagi menyediakan sebanyak 2,022 dulang nasi ambeng sempena Fiesta Nasi Ambeng Tradisional Selangor, di Pantai Bagan Lalang, Sepang.

Jumlah yang bukan sedikit. Semangat gotong-royong menjadikan kerja semakin mudah dan ringan.

Sementara itu, ketika fiesta berkenaan, seramai 250 ahli kumpulan rewang bagi menyediakan sebanyak 2,022 dulang nasi ambeng.

Jumlah yang bukan sedikit. Semangat gotong-royong menjadikan kerja semakin mudah dan ringan.

Masa lapan jam diperuntukkan untuk memasak juadah, iaitu bermula jam 12 tengah malam sehingga 8 pagi, bagaikan tidak dirasa lamanya, sebaliknya dilakukan penuh gembira.

Untuk melengkapkan hidangan sebanyak itu, bahan-bahan digunakan antaranya meliputi 70 kilogram (kg) beras, 120 ekor ayam, 150 keping tempe, 100 biji kelapa, 20 kg kentang, dua guni besar bawang merah dan berkilogram pelbagai sayuran, mi dan lain-lain.

 

Kira-kira 10,000 pengunjung hadir menikmati 2,022 dulang nasi ambeng disediakan. - NSTP/Essa Abu Yamin
Kira-kira 10,000 pengunjung hadir menikmati 2,022 dulang nasi ambeng disediakan. – NSTP/Essa Abu Yamin

 

Majlis rewang itu juga membabitkan beberapa daerah di Selangor dengan melantik vendor di seluruh negeri itu bagi mengenal pasti mereka yang layak mengikut spesifikasi resipi nasi ambeng yang ditetapkan.

Mereka memasak secara serentak, sebelum dibawa ke tapak fiesta sejajar dengan konsep rewang.

Penganjur juga menggunakan khidmat Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memantau aspek kesihatan ketika penyediaan makanan berkenaan dan tahap kebersihan sepanjang fiesta itu.

Hasilnya, ia mencatat sejarah apabila berjaya memecahkan rekod baru dengan menghidangkan sebanyak 2,022 dulang nasi ambeng.

Ini sekali gus diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai bidang terbanyak bagi memadamkan rekod lama, iaitu sebanyak 1600 dulang nasi ambeng sebelum ini.

Malah, lebih istimewa lagi, nasi ambeng diwartakan sebagai

sebagai Makanan Warisan Selangor oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Proses pewartaan nasi ambeng itu bermula sejak 2021 dan dimulakan dengan kajian sumber bertulis dan kajian lapangan.

Disusuli bengkel meja bulat dihadiri pengusaha nasi ambeng dari lima daerah yang popular dengan hidangan ini iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Mempromosi hidangan warisan

Menurut EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan negeri, Borhan Aman Shah, program berkenaan bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan nasi ambeng sebagai juadah tradisional dari sudut budaya dan identiti bangsa di Selangor.

Katanya, nasi ambeng sewajarnya diangkat sebagai Hidangan Warisan Selangor, berikutan negeri itu mempunyai komuniti orang Jawa.

 

Pelbagai bahan melengkapkan nasi ambeng yang popular dalam kalangan masyarakat Jawa. - NSTP/Essa Abu Yamin
Pelbagai bahan melengkapkan nasi ambeng yang popular dalam kalangan masyarakat Jawa. – NSTP/Essa Abu Yamin

 

Pewartaan itu bertujuan memberi ketetapan pada ciri-ciri dan elemen nasi ambeng yang asli, berasal dari Selangor.

“Nasi ambeng yang dihidangkan dalam dulang itu lazimnya dinikmati beramai-ramai. Untuk majlis ini kira-kira 10,000 pengunjung hadir dalam fiesta itu,” katanya.

Apa yang menarik, ia menjadi lambang dalam memartabatkan dan memastikan kelestarian nasi ambeng sebagai makanan warisan yang terdapat di Selangor.

“Ini usaha Kerajaan Negeri Selangor mempromosikan makanan nasi ambeng sebagai makanan tradisional bernilai tinggi di negeri itu,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat