Mulanya rindu Najib sebulan kemudian bubar DUN dan PRN Johor – DAP ingatkan tentang salah guna kuasa

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar soal individu atau parti, tetapi soal nilai yang ingin kita pertahankan sebagai sebuah masyarakat sama ada untuk menghargai integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik, atau memilih untuk melupakan pengajaran penting yang telahpun terakam dalam sejarah.

DAP dalam hantaran di Facebooknya mengaitkan rindu terhadap Datuk Seri Najib Razak membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“Pada sambutan ulang tahun ke-80 UMNO (2 Mei 2026) di WTCKL, Datuk Onn Hafiz Ghazi antaranya nyatakan bahawa Umno Johor masih menyokong Datuk Seri Najib Razak dan Johor tidak lupa jasa Najib bahkan merindui Najib.

“Juga membangkitkan, kepentingan memulihkan keyakinan generasi muda terhadap politik kerana ramai yang melihat politik sebagai medan konflik, fitnah dan perpecahan.

“Sebulan selepas tu, Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan (1 Jun 2026) Nampak…? Dalam politik, tak terlalu sukar untuk lihat hubung kait dua kejadian tersebut,” kata DAP.

Menurut DAP, Sebagai Perdana Menteri selama hampir satu dekad, sudah tentu Najib mempunyai pelbagai dasar dan program pembangunan yang boleh dinilai.

“Namun beliau juga telah disabit bersalah dalam skandal kewangan terbesar SRC International melibatkan penyalahgunaan dana RM42 juta dan 1MDB. Adakah kontroversi ini hanya muncul pada penghujung pentadbirannya? Tidak.

“Kebimbangan mengenai tadbir urus 1MDB telah dibangkitkan sejak awal. Tan Sri Mohd Bakke Salleh telah beri amaran berhubung pengurusan 1MDB dan penglibatan Jho Low pada 2009 – sebaik diawal bermulanya pentadbiran Najib. Kritik Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyusul pada 2010 sebelum membawa perkara tersebut ke Parlimen pada 2011.

“Kritikan turut datang daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemimpin pembangkang, NGO, masyarakat sivil dan pelbagai pihak lain.
Siasatan berkaitan 1MDB turut dijalankan oleh pihak berkuasa beberapa negara luar termasuk US, Switzerland dan Singapura. Maknanya, skandal ni malah menjadi perhatian antarabangsa,” katanya.

Tambah DAP lagi, jika benar Johor merindui Najib, maka keputusan PRU 2018 sepatutnya dilihat dalam konteks lebih jujur.

Jelasnya, pilihan raya tersebut, Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan terbesar dalam sejarah. Selama puluhan tahun dianggap kubu kuat Umno- BN, telah bertukar kerajaan negerinya buat kali pertama sejak merdeka.

“Keputusan itu berlaku ketika isu 1MDB dan SRC menjadi antara isu terpenting yang mencorak sikap pengundi. Sudah tentu jasa-jasa dilakukan Najib pada negara mesti dihargai.

“Namun keputusan pilihan raya 2018 menunjukkan majoriti pengundi memilih untuk menolak BN yang terkait dengan skandal yang disifatkan sebagai ‘kleptokrasi pada tahap paling buruk’, katanya.

Namun persoalannya ujar DAP, keyakinan terhadap politik yang bagaimana? Generasi muda perlu dididik bahawa politik ialah wadah untuk berkhidmat pada rakyat, menjunjung integriti dan memastikan mereka yang memegang kuasa adalah amanah dan bertanggungjawab.

“Ramai anak muda hari ni tidak melalui tempoh 2008 hingga 2018. Mereka mengenali era tersebut melalui rekod sejarah, cerita orang lama, laporan media, internet dan catatan-catatan rasmi yang berkaitan sahaja.

“Anak muda perlu diberikan gambaran lebih jelas. Mereka berhak mengetahui bukan sahaja pencapaian sesuatu pentadbiran, tetapi juga kesilapan dan kegagalan yang berlaku sepanjang tempoh tersebut agar tak diulangi.

“Keyakinan terhadap politik tidak dibina dengan melupakan sejarah atau menormalisasikan penyalahgunaan kuasa. Sebaliknya, apabila institusi negara berfungsi, undang-undang ditegakkan, hukum dilaksana dan tiada sesiapa yang lebih kebal dari itu,” bidas DAP.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat