KUALA LUMPUR — Proses pengagihan kerusi UMNO bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan dijangka dimuktamadkan pada minggu depan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa rundingan berkaitan perkara tersebut masih berlangsung dan kini berada pada fasa terakhir.
“Kita sedang dalam perundingan.
“InsyaAllah minggu depan kita muktamadkan semuanya,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Tribunal bagi Antibuli di sini, hari ini.
Menurut beliau, setakat ini proses pembahagian kerusi berjalan dengan baik serta tidak berdepan sebarang masalah.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai langkah UMNO memastikan kempen pilihan raya tidak menyerang pihak lawan secara peribadi susulan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan, Asyraf menjelaskan bahawa parti itu telah menetapkan pendekatan untuk menumpukan kepada dasar dan bukannya serangan peribadi.
“Kita telah pun buat satu ketetapan yang jelas dalam musyarakat MKT yang lepas, kita tidak fokus kepada hentam lawan peribadi, kita menyatakan tentang dasar, yang kita nak tawarkan kepada rakyat dan yang paling penting sekali tawaran-tawaran ini yang boleh memberikan manfaat kepada rakyat itu yang akan menjadi fokus kempen kita.
“Presiden parti sudah memberitahu bahawa kita jangan sentuh soal peribadi dan soal membuka aib mana-mana pihak,” katanya.


