Oleh Zihan Zari
IPOH – Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), Politeknik Ungku Omar (PUO) menerusi Kelab IoT dan Robotik dengan kerjasama Kelab Teknologi Digital telah berjaya menganjurkan Bengkel Asas Sumo Robot: From Code to Combat di Makmal CSD, JTMK PUO, dekat sini baru-baru ini.
Program itu telah menghimpunkan pelajar berbakat dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh bagi meneroka dunia robotik, elektronik dan pengaturcaraan secara praktikal serta interaktif.
Mengangkat tema ‘From Code to Combat’, bengkel ini memberi peluang kepada peserta membina, mengatur cara dan menguji robot sumo masing-masing dalam simulasi pertandingan sebenar.
Selain penguasaan teknikal, program turut menekankan elemen penyelesaian masalah, kreativiti, kerja berpasukan dan strategi dalam suasana pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang menyeronokkan serta berimpak tinggi.
Sesi perkongsian ilmu dikendalikan oleh penceramah utama, Ts. Nur Syuhada Mohamad bersama barisan fasilitator daripada Kelab IoT dan Robotik serta Kelab Teknologi Digital JTMK PUO.
Kehadiran guru pengiring STAR Ipoh, Mohd Azri Sufian Mohd Joni turut memperkukuh kelancaran sepanjang program berlangsung.
Program ini turut menjadi manifestasi kecemerlangan berterusan JTMK PUO sebagai peneraju pendidikan digital Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Pengarah PUO, Dr. Hjh. Salmi Che Meh berkata, kejayaan dan penganjuran program seumpama ini membuktikan komitmen berterusan PUO dalam memperkasakan budaya inovasi serta pembangunan bakat digital dalam kalangan generasi muda.
Menurut beliau, kolaborasi strategik bersama institusi pendidikan seperti STAR Ipoh mampu membuka lebih banyak ruang pendedahan teknologi kepada pelajar sekolah sekali gus menyemai minat terhadap bidang STEM dan TVET sejak di bangku sekolah lagi.
“PUO sentiasa komited menjadi peneraju dalam pembangunan bakat teknologi negara.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran secara hands-on, malah membentuk pemikiran kreatif, inovatif dan daya saing tinggi dalam kalangan pelajar sejajar dengan keperluan Revolusi Industri 4.0,” katanya.
Pihak pengurusan JTMK PUO turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini dan berharap kolaborasi strategik bersama STAR Ipoh dapat terus diperkasa demi memperkukuh pembangunan bakat STEM generasi muda negara.
Mengenai JTMK, PUO
JTMK PUO merupakan antara peneraju utama pendidikan TVET digital negara yang komited melahirkan graduan kompeten, inovatif dan memenuhi kehendak industri teknologi masa hadapan.
Terbaharu, PUO telah mencipta kejayaan gemilang apabila menyapu bersih anugerah utama dalam PDTI Outstanding Award 2025 anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menerusi pencapaian:
· Best Outstanding Department (JTMK PUO)
· Best Outstanding Tech Club (Kelab Teknologi Digital)
· Best Outstanding Faculty Member (Ts. Mazlina Md. Mustaffa)
· 2nd Place Outstanding Student (Muhammad Akmal Harith)
Dengan rekod kecemerlangan termasuk kemenangan besar dalam PDTI Outstanding Award 2025, JTMK PUO terus memperkukuh reputasi sebagai hab pembangunan bakat digital dan inovasi teknologi ke arah merealisasikan aspirasi Apex Polytechnic.-SUARA.TV



