Serik berlakon sambil mengarah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Serik melakukan dua kerja dalam satu masa iaitu duduk di kerusi pengarah dan pada masa sama turut berlakon, pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-32 (FFM32), Tan Chui Mui, 44, berkongsi cerita, ia menjadi kali pertama dan terakhir berbuat demikian.

Chui Mui yang menerima trofi berkenaan hasil lakonan mantap menerusi filem Barbarian Invasion berkata, dia kini tidak mahu mengarah dan berlakon serentak.

Namun, katanya, hasil kerja keras berbaloi apabila berjaya menewaskan empat calon lain iaitu Sangeeta Krishnasamy (Juang), Mei Fen Lim (Prebet Sapu), Bernice Chauly (Spilt Gravy) dan Sara Ali (Air Force The Movie: Selagi Bernyawa).

“Tekaan saya Sangeeta yang bakal menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik kerana lakonan mantapnya dalam filem Juang.

“Saya yakin mengatakan Sangeeta menang. Penganjur akan memaklumkan lebih awal kepada saya untuk bersiap sedia sekiranya menang.

“Ketika keputusan diumumkan, saya antara percaya dengan tidak kerana sedang keletihan berikutan hari sudah malam dan kelaparan.

“Saya terpinga-pinga kerana tak sangka akan menang,” katanya kepada BH Online.

 

Chui Mui bersama pemenang trofi Pengarah Harapan, Datuk Zahim Albakri Ikmal dan abangnya, Zarul Albakri selaku penerbit Filem Terbaik FFM32. - NSTP/Aziah Azmee
Chui Mui bersama pemenang trofi Pengarah Harapan, Datuk Zahim Albakri Ikmal dan abangnya, Zarul Albakri selaku penerbit Filem Terbaik FFM32. – NSTP/Aziah Azmee

 

Sekalipun filem Barbarian Invasion berjaya membuktikan kehebatannya sebagai pengarah dan pelakon, Chui Mui tetap nekad dengan keputusannya tidak mahu melakukan dua kerja serentak.

“Saya rasa cukuplah itu pertama dan terakhir, bukan mudah jadi pengarah dan berlakon sehingga saya terpaksa meminta bantuan penerbit Woo Ming Jin untuk membantu di lokasi penggambaran.

“Saya terpaksa berlari ke depan dan belakang kamera. Jika hendak berlakon mungkin di bawah arahan pengarah lain,” katanya.

Berkongsi mengenai filem Barbarian Invasion, Chui Mui sanggup mengikuti pelbagai kelas seni mempertahankan diri semata-mata untuk memberikan lakonan terbaik. Ini termasuk terbang ke Filipina demi menghidupkan watak Moon.

Moon adalah pelakon yang sudah lama berehat selepas memiliki cahaya mata.

Namun, perceraian menyebabkan Moon kembali mewarnai dunia lakonan dan ditawarkan meneraju watak utama untuk sebuah filem aksi.

Malangnya, Moon digandingkan dengan bekas suami lakonan Bront Palarae atas pilihan penerbit filem.

Chui Mui berkata, dia berhasrat menawarkan watak itu kepada Yeoh Yen Yen, tetapi akhirnya buat keputusan untuk melakonkan sendiri kerana lebih tahu apa yang ingin disampaikan dalam filem.

“Macam-macam seni pertahankan diri, saya ikuti seperti Jujitsu dan Muay Thai semata-mata untuk watak Moon. Ternyata, usaha ini berhasil,” katanya.

Terdahulu, filem Barbarian Invasion pernah memenangi trofi Jury Grand Prix pada acara kemuncak Golden Goblet Awards sempena Festival Filem Antarabangsa Shanghai (SIFF) Ke-24 di Shanghai, China, tahun lalu.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat