‘Patuh SOP elak PKP dilaksana semula

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesan penularan pandemik COVID-19 meninggalkan impak besar dalam kalangan warga seni. Hilang punca pendapatan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ramai menderita dan berdepan kesempitan hidup.

Tidak hanya risau memikirkan situasi negara yang belum pulih dengan penyerangan virus bahaya itu, lebih teruk, pening kepala ‘kocek’ kosong berikutan tiada kerja. Ada yang kena halau daripada rumah sewa, mengikat perut, meminjam duit dan pelbagai masalah membelenggu hidup.

Tentunya, warga seni tidak sanggup berdepan PKP sekali lagi. Kini, baru saja menarik nafas lega berikutan penggambaran dibenarkan semula mengikut norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan sejak Jun lalu, kes jangkitan COVID-19 meningkat semula.

Jumlah peningkatan kluster baharu COVID-19 yang semakin meningkat, sejak akhir-akhir ini begitu menggusarkan penggiat seni kreatif.

Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim, berkata warga seni sangat terkesan dengan pelaksanaan PKP lalu dan kebanyakannya berdepan kesempitan hidup berikutan tiada kerja selama berbulan-bulan.

“Melihat jangkitan COVID-19 kembali meningkat, malah jumlah kes kluster baharu bertambah menerbitkan keresahan di hati warga seni.

“Impak dilalui cukup buruk sebelum ini, jadi mereka tidak boleh menerima jika berdepan fasa PKP sekali lagi.

“Disebabkan itu, FDAM menasihatkan dan mengingatkan warga seni yang sedang menjalankan penggambaran sentiasa berwaspada serta menjaga dan mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” katanya kepada BH Online.

 

Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim.
Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim.

 

Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London berkata, FDAM tidak mahu wujudnya kluster dalam kalangan warga seni.

“Virus COVID-19 ini tidak mengenal siapa, kita semua berdepan jangkitan sekiranya tidak berwaspada. Jadi, FDAM tidak mahu wujudnya kluster warga industri kreatif berikutan tidak mematuhi SOP dan menjaga kebersihan diri.

“FDAM sentiasa meminta mereka memberikan laporan berserta gambar ketika melakukan penggambaran drama mahupun filem bagi memastikan warga seni mematuhi SOP.

“Kami juga turun padang memantau penggambaran sedang dilakukan. Antaranya, saya menjengah lokasi penggambaran drama Amoi Balik Kampung untuk meninjau dan memastikan tiada yang ingkar arahan dikeluarkan kerajaan,” katanya.

Setakat ini, katanya, pelakon dan kru produksi menjaga dan mematuhi SOP. Mereka semakin selesa mengamalkan cara norma baharu ketika bekerja.

“Kami tahu jika wujudnya kluster anak seni, tentunya kebenaran penggambaran akan ditarik semula. Tidakkah ia mendatangkan kesusahan, bukan hanya penggambaran terpaksa ditangguhkan lagi, malah mereka juga tiada kerja dan pendapatan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat