KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan Amanah Johor tidak terlalu bermain politik ketika ini memandangkan tempoh matang untuk menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih panjang.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan Amanah Johor agar menumumpukan usaha untuk membantu rakyat daripada sibuk merancang percaturan politik.
“Kita serahkan kepada kepemimpinan parti berkenaan (untuk buat keputusan).
“”Saya fikir pilihan raya lama lagi, jangan sibuk berpolitik, kita sibukkan diri kita untuk membantu rakyat dulu,” katanya ditemui media pada Majlis Penutupan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar MADANI Tahun 2024 di Bangi pada Isnin.
Media hari ini melaporkan, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, partinya tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN pada PRN dan PRU akan datang berikutan Johor kini masih belum membentuk Kerajaan Perpaduan.
Beliau juga menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, sama ada bersama BN atau bersama dengan gabungan asal, PH.
Justeru kata Presiden Umno itu, keputusan sama ada bakal wujud pertembungan itu atau sebaliknya, akan ditentukan sendiri pucuk pimpinan Amanah.
Difahamkan hubungan Amanah dan Umno Johor sejak mutakhir ini agak renggang dengan parti gabungan PH itu sering kali mendesak supaya Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan.
Kemelut dua parti yang kini berada di bawah Kerajaan Perpaduan itu turut berlarutan sebelum ini terutama ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, di mana Amanah menuntut calon mereka diletak bertanding pada PRK itu.