Radzi Jidin, Ronald Kiandee dan Faizal Azumu menang jawatan Naib Presiden Bersatu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mempertahankan jawatan mereka sebagai Naib Presiden Bersatu, manakala satu lagi jawatan itu dimenangi Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang sebelum ini ialah Timbalan Presiden.

Mereka menewaskan tiga calon lain, iaitu Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris; Timbalan Ketua Bersatu Selangor, Mohd Rafiq Mohd Abdullah dan Ketua Bahagian Bersatu Batu Kawan, A’ziss Zainal Abiddin pada pemilihan parti itu bagi penggal 2024-2027 yang berlangsung Sabtu lalu.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya pada Isnin.

Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya memperoleh 11,690 undi manakala Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran mendapat 11,295 dan Ahmad Faizal dengan 9,278 undi.

Pada masa sama, Abdul Azim turut mengumumkan nama 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang menang pada pemilihan itu, daripada 80 calon yang bertanding, lapor BH.

Muhyiddin Presiden, Hamzah Zainudin timbalan

Beliau turut mengumumkan secara rasmi kemenangan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Timbalan Presiden, masing-masing menang tanpa bertanding bagi jawatan berkenaan.

Antara nama besar yang mendapat tempat dalam MPT ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Beberapa nama yang gagal menempatkan diri dalam barisan kepimpinan ialah bekas Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Roslan Hashim dan aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, yang sebelum ini menang Ketua Bersatu Port Dickson.

Mengulas mengenai pemilihan berkenaan, Abdul Azim berkata sebanyak 169 bahagian bersidang pada Sabtu lalu, dengan 74 bahagian menjalankan pemilihan di peringkat bahagian, manakala baki 95 bahagian mencatatkan kemenangan tanpa bertanding bagi semua jawatan.

Seramai 29,717 perwakilan (61 peratus) menunaikan tanggungjawab mengundi pada pemilihan berkenaan.

Abdul Azim berkata, JPP menerima 31 aduan dan bantahan dalam tempoh yang dibenarkan.

“Asas aduan dan bantahan adalah pelbagai, antara lain berkaitan peraturan persidangan, tatacara pemilihan, keabsahan perwakilan, prosedur pengeluaran kertas undi dan prosedur pengiraan undi.

“JPP Pusat membuat keputusan yang sewajarnya mengikut bidang kuasa yang dimiliki JPP, selaras dengan peruntukan perlembagaan parti,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat