Oleh Zihan Zari
MERBOK – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) sentiasa komited dalam menjadikan muzium sebagai platform integrasi kaum, selaras dengan fungsinya sebagai ‘guardian of heritage’.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pembukaan semula galeri Arkeologi Lembah Bujang bukan sahaja menjadi lambang pemeliharaan sejarah bangsa, malah ia juga menghubungkan masyarakat dengan warisan terdahulu.
Aaron berkata demikian pada majlis perasmian Program Citra Nusa @Muzium Arkelogi Lembah Bujang (MALB) dan Pameran Galeri Sejarah Arkelogi Lembah Bujang dekat sini pada Sabtu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Senator Saraswathy Kandasami, yang berucap di majlis tersebut bagi pihaknya.
Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat menghadiri dan merasmikan program ini.
Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Hj. Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Hj. Norizan Khazali; Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Dato ’ Hj. Salleh Saidin; Ketua Setiausaha KPN , Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha KPN, dan Pegawai Daerah Kuala Muda, Dato’ Abdul Gafar Yahya; Pengarah Muzium Arkeologi Lembah Bujang Azhar Mohamed Noor.
Aaron berkata, Galeri pameran Arkeologi Lembah Bujang telah dinaik taraf pada 2022 dan siap sepenuhnya pada April lalu.
“Pameran ini menggabungkan pelbagai medium dan bentuk pameran, termasuk susun atur peti pameran, pencahayaan, serta elemen-elemen interaktif yang terkini telah berjaya menghidupkan semula suasana zaman kegemilangan Tamadun Kedah Tua.
“Ianya membolehkan para pengunjung merasai pengalaman serta memahami keagungan sejarah Kedah Tua dengan lebih mendalam,”katanya.
“Manakala Galeri Sejarah Perdagangan Lembah Bujang telah dibuka kepada orang ramai pada bulan Februari 2022 yang memfokuskan pelbagai artifak yang berkaitan dengan perdagangan dengan tamadun India, Cina, Arab, dan Nusantara.
“Artifak-artifak yang dipamerkan bukan sahaja menunjukkan hubungan perdagangan yang erat antara Kedah Tua dan tamadun lain, tetapi juga membuktikan kepentingan kawasan ini sebagai pusat pertemuan pelbagai bangsa, budaya, dan amalan kepercayaan, ”katanya lagi.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh JMM memaklum, antara pengisian Citra Nusa@MALB yang berlangsung selama tiga hari itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik menggunakan pendekatan berbentuk ‘edutainment’
Antaranya, Bicara Arkeologi Lembah Bujang: Menelusuri Kegemilangan Tamadun Awal yang menampilkan ahli-ahli Arkeologi yang telah membuat ekskavasi arkeologi dan fokus kepada temuan arkeologi terkini di Bukit Choras, Yan.
Turut diadakan, reruai oleh Institut Kemahiran MARA (IKM), JMM, Arkib Negara Malaysia (ANM) Kedah/Perlis, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd, dan Jabatan Penjara Malaysia yang menampilkan demonstrasi pembuatan produk, pelbagai persembahan kebudayaan masyarakat Malaysia, pameran serta jualan produk usahawan. – SUARA.TV