Lidah konon bersama Palestin, tapi hati bersama Zionis – Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang membidas ada dikalangan negara Islam berpura-pura menyokong rakyat Palestin namun jauh di lubuk hati mendukung Zionis Israel.

Hadi mendedahkan, banyak negara Arab dan Islam mengadakan normalisasi politik, ekonomi, dan kebudayaan dengan negara Israel.

Bahkan katanya, ada yang mengisytiharkan secara terbuka atas nama perdamaian dan ada yang bersembunyi kerana takut terhadap protes rakyat.

“Majoriti negara Arab dan Islam, termasuk Kerajaan Malaysia membuat kenyataan tegas bersama dengan Palestin yang menjadi mangsa kezaliman paling kejam dalam sejarah manusia.

“Dikatakan, kitalah yang paling berani membuat kenyataan berdegar-degar menentang keganasan Zionis yang tidak berperikemanusiaan dan tidak tunduk kepada Amerika Syarikat (AS) dan penyokongnya yang paling kuat dan berpura-pura,” katanya dalam catatan Minda Presiden Pas pada Isnin.

Namun begitu menurut Ahli Parlimen Marang itu, ada sebahagian negara mengambil langkah mendukung polisi AS dan sekutunya yang kononnya menjadi juara pendamai.

Pada masa yang sama kata Hadi, mereka juga menjadi juara membantu negara haram Israel dengan senjata pembunuh paling banyak dan bertali arus serta menjadi imam yang diaminkan di belakangnya oleh negara-negara tersebut, sama ada dengan bersuara mahupun secara bersembunyi.

“Lidahnya bersama rakyat Palestin, tetapi hatinya diletakkan ke dalam perut yang menjadi penentu kepentingan kebendaan hidup yang sentiasa menagih kewangan demi mengekalkan kerusi kuasa yang menjadi roh perjuangannya.

“Negara-negara besar yang dipengaruhi oleh Zionis boleh menentukan siapa pemimpin melalui demokrasi yang disokong oleh politik wang dan media bebas.

“Maka, sokongan kepada Israel menjadi pilihan semua calon pemimpin dunia yang sedang hanyut dan sesat kemanusiaan mereka, sehingga tidak mampu bertindak terhadap Zionis yang boleh membuang segala perutusan ke dalam tong sampah, termasuk perkara yang berkaitan hak asasi manusia dan keadilan undang-undang antarabangsa. Israel boleh mengarah mereka, bukan mereka yang mengarah Israel,” kata Hadi lagi.

Keadaan ini menunjukkan hilangnya sifat kemanusiaan dan lebih teruk daripada kebinatangan kerana manusia itu berakal dan bijak dalam segala-galanya, termasuk melakukan kejahatan dan kezaliman, ujar beliau.

“Sikapnya dapat disaksikan melalui perasaannya yang tidak dapat disembunyikan. Berkabung apabila raja atau pemimpin negara di bawah Zionis yang pernah menjajah meninggal dunia.

“Tetapi tidak ada sedikit pun perasaan sedih yang dilahirkan apabila pemimpin pejuang Palestin atau negara dan kumpulan yang membantu perjuangan Palestin gugur syahid.

“Di mana perasaan keimanan yang menjalinkan persaudaraan sesama umat dan sifat kemanusiaan yang menentang kejahatan yang ditolak oleh fitrahnya? kata Presiden Pas itu.

Sangat memalukan apabila ada dalam kalangan negara bukan Islam di Amerika Latin, Asia, dan Afrika membatalkan hubungan diplomatik dan perdagangan terhadap Israel, tegas Hadi.

“Ada yang sedang menunggu pilihan raya Presiden AS, hanya menunggu dua wajah gambar sekeping dolar yang sama nilai harga duit, ekonomi, dan politiknya yang menjadi ukuran dan neraca pertimbangan semua negara tumpangan.

“Kiblat ibadat para pemimpinnya ketika beribadat solat, haji, dan umrah menghadap ke Makkah. Adapun politik dan ekonominya tetap ke arah AS dan Eropah.

“Sebenarnya, umat Islam dilanda wabak yang pernah dinyatakan oleh Rasulullah SAW iaitu terlalu sayang akan dunia dan benci akan kematian.

“Larangan Allah terhadap mereka yang beriman lebih besar padahnya kepada kerajaan yang memerintah tanah air umat Islam dan mereka yang mendukung kerajaan itu dengan sokongan melantik para pemimpin yang khianat terhadap Islam. Bermakna, mereka juga berkhianat terhadap Allah dan Rasulullah SAW.

“Pemerintahan negara ialah ujian Allah kepada manusia dalam kehidupan dunia yang akan dihisab pada Hari Akhirat kelak,” kata Hadi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat