KUALA LUMPUR – Umno Sabah menuntut penjelasan yang telus daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin berkait ikrar RM100 juta dari Sabah untuk menyokong acara Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027.
Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir menuntut penjelasan itu kerana ia bakal menggunakan wang rakyat, justeru rakyat berhak mengetahui ke mana wang mereka akan dibelanjakan oleh kerajaan.
“Saya desak untuk Ketua Menteri dan Menteri Belia Sukan Sabah untuk memberikan penjelasan yang jujur serta telus secepat mungkin kerana wang yang digunakan ialah wang rakyat dan rakyat berhak mengetahui ke mana wang mereka dibelanjakan.
“Inilah bukti satu kegagalan sebuah Kerajaan yang tidak mempunyai mandat rakyat dan hanya terbina atas mandat politik mereka sendiri. Tidak ada arah tujuan yang jelas, longgar dan menyusahkan rakyat,” tempelak beliau dalam kenyataan pada Rabu.
Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata demikian merujuk laporan akhbar The Star bertajuk ‘Sabah govt unaware of SEA Games co-host plans, says Masidi’ yang bertarikh 3 September 2024.
Katanya, dalam laporan tersebut Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, beliau tidak sedar atau tidak tahu akan komitmen Kerajaan Sabah untuk menyumbang RM100 juta.
“Adakah Datuk Seri Masidi Manjun mengatakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebagai seorang pembohong ataupun penafian tersebut merupakan satu taktik untuk menutup kegagalan didalam Kerajaan GRS?
“Kerana ia menunjukkan satu keputusan peribadi yang membelakangkan jemaah menteri Sabah,” bidas Suhaimi.
Semalam media melaporkan, Kerajaan Sabah tidak mengetahui sebarang perbincangan berhubung rancangan untuk negeri itu menjadi tuan rumah bersama Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun melahirkan rasa terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan Persekutuan Hannah Yeoh pada Konvoi Jiwa Merdeka Subang Jaya 2024 minggu lepas, yang menyebut ikrar RM100 juta dari Sabah untuk menyokong acara itu.
“Saya tidak mengetahui sebarang ikrar RM100 juta,” kata Masidi sambil menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah membuat komitmen sedemikian.
Hannah telah menyatakan bahawa, selain Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang juga akan menjadi tuan rumah bersama acara sukan antarabangsa itu, masing-masing menyumbang RM300 juta dan RM15 juta, kepada kos keseluruhan RM700 juta.
Pengumuman itu telah menimbulkan kebimbangan dalam Umno Sabah, dengan parti itu berhujah bahawa RM100 juta itu boleh digunakan dengan lebih berkesan untuk menangani keperluan infrastruktur negeri yang mendesak.