KUALA LUMPUR – Proses siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar yang didakwa membabitkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilakukan secara tertib dan cermat dengan mengambil kira semua aspek.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sehingga kini sudah ada yang dipanggil memberi keterangan dan yang akan dipanggil selepas ini.
“Berdasarkan taklimat daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, perkara pertama adalah kertas siasatan sudah dibuka.
“Kita sudah kenal pasti watak yang akan dipanggil dan sudah dipanggil untuk diambil keterangan sebelum ini. Berapa ramai yang sudah diambil keterangan kita serahkan kepada Bukit Aman untuk menguruskannya.
“Proses siasatan dilakukan dengan tertib dan cermat mengambil kira pelbagai aspek. Pada masa sama, kita juga sedang mengesan penulis artikel berkenaan,” katanya selepas Majlis Perasmian Baitul Mahabbah Tanah Merah, Kelantan, lapor BH pada Rabu.
Mengulas lanjut katanya, sekiranya semua pihak memberikan kerjasama, polis akan melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh munasabah.
Media sebelum ini melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan beberapa penulis artikel dari negara jiran, Indonesia untuk membantu siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar yang didakwa membabitkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan suami.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis masih mengesan seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang didakwa terbabit dalam jenayah itu, untuk diambil keterangan.