Ibu Di Kenya Masak Ketulan Batu, Harap Anak Kelaparan Tertidur Tunggu ‘Makanan’ Siap

- Advertisement -

Tidak semua orang diberi bantuan disaat negara sedang berdepan dengan wabak Covid-19 sehingga terpaksa melakukan perintah berkurung menyebabkan ramai yang hilang punca pendapatan.

Seperti di Kenya yang terkenal dengan jolokan Carribean Beauty, seorang ibu terpaksa memasak batu bagi meyakinkan 8 orang anaknya yang kelaparan kononnya mereka mempunyai makanan, dengan harapan anaknya akan tertidur saat mereka menunggu makanan siap.

Menurut laporan BBC, Bahati Kitsao memasak batu itu sambil berharap anak-anaknya tertidur sementara menunggu “makanan” siap.

Kitsao biasanya bekerja sebagai pencuci pakaian di kawasan kejiranannya, namun semuanya kelihatan sukar sejak kehadiran wabak Covid-19 yang membatasi pergerakan dia untuk keluar mencari rezeki.

Kesusahannya ini diceritakan salah seorang jirannya, Prisca Momanyi.

Setelah ditemubual oleh NTV Kenya, Kitsao mula menerima wang bantuan daripada orang ramai malah ibu yang buta huruf ini juga dibantu buka akaun bank agar wang dapat disalurkan.

Kitsao yang tinggal di sebuah rumah yang mempunyai 2 bilik tidur tanpa air dan elektrik menggambarkan pertolongan yang dia dapat sebagai “keajaiban” yang berlaku ke atas dirinya.

“Saya masih tidak percaya orang Kenya boleh mengambil berat, setelah saya menerima panggilan dari seluruh negara yang bertanya bagaimana mereka dapat membantu [saya],” katanya kepada laman berita Tuko.

Dia memberitahu NTV Kenya, anak-anaknya yang kelaparan selalunya tahu bahawa dia berbohong dengan teknik memasak batu itu.

“Mereka mula memberitahu saya bahawa mereka tahu saya berbohong, tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana saya tidak mempunyai apa-apa.”

Sebelum ini kerajaan Kenya melancarkan program makanan sebagai langkah-langkah untuk melindungi kelompok yang terkesan akibat daripada krisis Covid-19.

Namun, bantuan ini masih belum sampai ke tangan Kitsao, yang menjadi janda sejak tahun lalu selepas suaminya dibunuh oleh sekumpulan samseng.

Jiran di sekitar rumah Kitsao mengucapkan terima kasih kepada kerajaan tempatan dan pasukan Red Cresent Kenya, yang datang untuk membantu Kitsao.

Malah hasil pendedahan kesusahan ini, difahamkan lebih banyak isi rumah di persekitaran bandar pesisir juga akan menerima bantuan makanan, kata pihak berkuasa.

Kebanyakan orang yang berpendapatan rendah di Kenya mengalami kesukaran untuk mendapatkan wang sejak beberapa bulan ini selepas kerajaan memerintahkan “lockdown” bagi mengurangkan penyebaran wabak Covid-19.

Malah terdapat syarikat yang mengurangkan operasi mereka. Ini bermakna pekerja dengan kontrak pendek atau pekerja tidak mahir akan kehilangan pekerjaan mereka.

Penduduk yang menjalankan perniagaan kecil juga terkesan dengan perintah “lockdown” yang dikuatkuasakan di seluruh negera.

Kisah tragis Kitsao hadir ketika Kementerian Kesihatan Kenya dituduh menghabiskan wang yang disumbangkan oleh Bank Dunia untuk menangani wabak itu untuk kakitangan mereka sahaja.

Perincian tentang berapa banyak staf yang mendapat wang tersebut tidak diberitahu, tetapi perkara ini menimbulkan kemarahan di media sosial mengatakan Kerajaan Kenya membelanjakan dana tersebut ketika rakyat terus menderita.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat