MyKad struktur baharu dilaksana secara berfasa, orang ramai tidak perlu tergesa-gesa tukar kad

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan pengeluaran dan gantian MyKad struktur baharu akan dilaksanakan secara berfasa selepas pelancarannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

JPN dalam kenyataan berkata, orang ramai tidak perlu tergesa-gesa menukar MyKad kerana kad pengenalan sedia ada masih sah digunakan untuk semua urusan rasmi.

Menurut JPN, MyKad sedia ada juga masih boleh digunakan bagi tujuan penebusan subsidi dan bantuan kerajaan.

“Sebagai permulaan, pengeluaran dan gantian MyKad Struktur Baharu akan dilaksanakan secara berfasa di Ibu Pejabat JPN Putrajaya dan 18 pejabat JPN terpilih secara sistem janji temu, sebelum diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat,” kata kenyataan itu.

JPN berkata, pendekatan secara berfasa itu bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar, teratur dan mengelakkan kesesakan di kaunter.

Keutamaan pengeluaran MyKad Struktur Baharu hanya diberikan kepada pemohon yang membuat janji temu melalui Sistem Janji Temu JPN serta pemegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan MyKad Versi 1 tanpa ghost-image.

Dalam masa sama, pemegang KPP, KPT dan MyKad Versi 1 diwajibkan menukar kepada MyKad Struktur Baharu secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.

JPN berkata, maklumat lanjut serta Soalan Lazim (FAQ) berkaitan pelaksanaan MyKad Struktur Baharu akan disediakan di portal rasmi jabatan itu.

“JPN komited memastikan pelaksanaan MyKad Struktur Baharu berjalan lancar, teratur dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia selaras usaha memperkukuh sistem identiti nasional negara.

“JPN juga memberi jaminan bahawa keselamatan data dan maklumat peribadi pemegang MyKad akan terus dilindungi melalui ciri keselamatan serta kawalan perlindungan data yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat