KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan supaya budaya penderaan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dihentikan serta-merta.
Seri Paduka Baginda dalam titah sulung selaku Canselor UPNM meminta semua pihak untuk berusaha menamatkan budaya tidak sihat itu dan mengembalikan semula nama baik universiti berkenaan.
“Jika ia terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi.
“Panglima dan komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah.
“Saya percaya, ibu bapa menghantar anak mereka ke sini untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera dan bukannya untuk didera,” titah Sultan Ibrahim.
Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian pada Istiadat Pemasyhuran Seri Paduka Baginda sebagai Canselor UPNM dan Konvokesyen ke-14, pada Selasa di di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Sultan Ibrahim menzahirkan rasa dukacita dengan penderaan sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian di UPNM.
Seri Paduka Baginda bertitah semua pihak mesti berusaha menghentikan budaya tidak sihat itu dan memulihkan nama baik UPNM.
“Bagi melahirkan seorang pegawai tentera, memang memerlukan latihan fizikal dan mental yang keras.
“Tetapi ini tidaklah sampai mendera sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian,” titahnya.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong bertitah, lebih mendukacitakan apabila kejadian penderaan terus berlaku, seperti tiada usaha yang serius diambil oleh mana-mana pihak walaupun kejadian sebelumnya telah dibawa ke mahkamah.
“Falsafah utama UPNM ialah untuk menjadi sebuah universiti utama di rantau ini dalam bidang pertahanan, ketenteraan dan keselamatan. Disiplin dan budaya tentera adalah menjadi falsafah utama universiti ini,” titah Seri Paduka Baginda.