Penswastaan MAHB: Pintu masuk negara kekal di bawah kendalian pasukan penguatkuasaan negara – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri tegas memberi jaminan pengambilalihan dan penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tidak akan sesekali berkompromi dalam isu keselamatan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebagai negara yang berdaulat, urusan di pintu masuk negara akan dikendalikan serta dikawal Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen (Imigresen) serta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (MCBA).

Menteri Kewangan itu juga menegaskan, bagi soal keselamatan di darat dan tempat awam di sekitar lapangan terbang adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bertanggungjawab dari segi keselamatan di atas udara serta kawasan pengendalian bagasi.

“Apa yang lebih penting, jika atau selepas tawaran ini dipersetujui pemegang sahamnya, MAHB masih tertakluk kepada terma dan syarat yang terkandung dalam Perjanjian Pengoperasian sedia ada yang ditandatangani mereka bersama pihak kerajaan.

“Ini akan memastikan tiada sebarang perubahan kepada tanggungjawab dan bidang tugas MAHB sedia ada.

“Selain itu, dari aspek kepentingan kepada negara, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melihat wujudnya satu keperluan mendesak untuk operasi MAHB ditambah baik dan pelaburan dibuat secara lebih pantas, mengambil kira unjuran peningkatan trafik penumpang dan keadaan infrastruktur semasa yang tidak dapat menampung jumlah masa kini serta keperluan masa hadapan Malaysia.

“Ini kerana rangkaian lapangan terbang yang kukuh dan diuruskan dengan baik akan meningkatkan dan merangsang pertumbuhan perdagangan, perniagaan dan pelancongan di Malaysia, memenuhi agenda MADANI dan pelbagai dasar ekonomi kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang bertanya sama ada kerajaan bersedia memberikan dan mendedahkan kepada Parlimen salinan perjanjian pemegang saham (MAHB) antara tiga pihak yang berhasrat untuk menswastakan MAHB.

Perdana Menteri berkata, secara prinsipnya, tawaran pengambilalihan dan penswastaan MAHB adalah satu urusan transaksi komersial yang dikemukakan sebuah Konsortium yang diterajui dua pemegang saham sedia ada MAHB ketika ini, iaitu Khazanah dan KWSP.

Jika tawaran itu diterima dan dipersetujui pemegang saham MAHB yang lain, pemilikan MAHB oleh Konsortium berkenaan adalah berdasarkan pecahan, iaitu Khazanah sebanyak 40 peratus pegangan, KWSP (30 peratus) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) serta Global Infrastructure Partners (GIP) (30 peratus).

“Memandangkan ia adalah perjanjian yang membabitkan empat pihak swasta, ia tertakluk kepada prinsip kerahsiaan komersial seperti kelaziman dalam sebarang transaksi yang bersifat sedemikian.

“Bagaimanapun, kerajaan sudah meneliti butiran berhubung pengambilalihan MAHB yang dibentangkan Konsortium berkenaan dan berpuas hati dengan segala perincian yang dikemukakan.

“Perlu juga ditegaskan bahawa pihak kerajaan akan mengekalkan Saham Khasnya dalam MAHB,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat