Melaka Kekal Tawar Rumah Mampu Milik Harga Terendah Dalam Negara – KM

- Advertisement -

MELAKA – Melaka terus kekal menawarkan harga rumah terendah di seluruh negara pada harga purata RM209,472 melepasi peringkat nasional RM432,445 sebuah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kejayaan itu dipengaruhi hasil dasar perumahan kerajaan negeri yang menetapkan setiap pembangunan perumahan melebihi lapan ekar (3.2 hektar) perlu mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus komponen Rumah Mampu Milik (RMM).

Menurutnya, RMM merangkumi unit rumah kos rendah bernilai RM42,000, rumah kos sederhana rendah (RM80,000 sehingga RM100,000) dan RMM tidak melebihi RM180,000 sebuah.

“Laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) sehingga 31 Disember 2021 menunjukkan Melaka terus mengekalkan statusnya sebagai negeri yang menawarkan harga rumah terendah di Malaysia iaitu pada harga purata RM209,472.

“Kerajaan negeri akan terus memastikan agar harga rumah di negeri ini kekal relevan dan mampu milik, walaupun berlaku kenaikan harga bahan mentah terutama di dalam sektor pembinaan yang mempengaruhi kenaikan harga rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo RMM 2022 anjuran Lembaga Perumahan Melaka di pusat beli belah Dataran Pahlawan Megamall, di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Ekspo RMM 2022 menawarkan 8,286 unit rumah dengan anggaran nilai jualan sebanyak RM2.276 bilion merangkumi rumah kos rendah, rumah kos sederhana, Rumah Belia Melaka (RBM) dan RMM Be berharga antara RM70,000 hingga RM180,000.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, kerajaan negeri turut menyasarkan peratusan pemilikan rumah di Melaka meningkat daripada 83.5 peratus kepada 88 peratus menjelang 2030 sekaligus melepasi kadar peringkat nasional 76.9 peratus.

“Ini bermakna, sekurang-kurangnya sebanyak sebanyak 3,982 unit rumah perlu siap dibina setahun bagi mencapai sasaran tersebut.

“Kita akan terus memainkan peranan sebaik mungkin dengan industri perumahan bagi mengatasi kenaikan harga rumah tanpa mengabaikan keselesaan dan kemampuan bakal pembeli rumah,” katanya.

Tambahnya, sehingga 31 Mei 2022, LPM merekodkan sebanyak 44,684 unit RMM dibangunkan di seluruh negeri bagi tempoh lima tahun sehingga 2025.

Daripada jumlah tersebut, 11,158 unit telah siap dibina, 15,233 unit dalam peringkat pembinaan, dan 18,293 unit dalam peringkat perancangan.

Dalam perkembangan sama berkata, Sulaiman berkata, sehingga suku pertama tahun 2022 terdapat 630 unit kediaman yang siap dibina di Melaka tetapi tidak terjual bernilai RM245.47 juta.

Angka itu bagaimanapun jelasnya, jauh lebih rendah berbanding negeri-negeri lain seperti Selangor, Johor dan Pulau pinang yang mencatatkan hartanah tidak terjual melebihi 5,000 unit. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat