Azmin pertahan kes Covid-19 bukan angkara ‘kluster MITI’ tapi sporadik dalam komuniti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Meskipun Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pernah memaklumkan angka dan data terkini kes Covid-19 sepanjang Jun lalu, 91 peratus kluster di Selangor berpunca daripada pekerjaan iaitu 80 peratus kluster perkilangan dan 11 peratus kluster tapak binaan bersamaan dengan 125 kluster daripada dua sektor ini.

Namun fakta itu seolah-olah cuba disangkal oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan mengemukakan pelbagai sebab sekali gus menafikan kes tinggi Covid-19 berpunca dari sektor pembuatan.

Dalam perkongsian di Facebook dan Twitternya, Azmin memaklumkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaporkan bahawa 69 peratus kes Covid-19 kini adalah bersifat sporadik dan menunjukkan wabak sudah berada di dalam komuniti.

Kata Azmin ini adalah salah satu sebab penularan tercetus di pelbagai lokaliti dan atas sebab itu kawalan pergerakan perlu dilaksanakan demi melandaikan lekuk jangkitan.

Beliau juga tampil mendedahkan tindakan kementeriannya, antaranya MITI mengambil serius usaha untuk membantu mengawal penularan Covid-19 di dalam sektor pembuatan dengan melaksanakan langkah yang proaktif dan pragmatik, yang akan dapat memberi manfaat jangka masa panjang.

“Pematuhan SOP adalah satu kewajipan dan dirangka mengikut perkembangan Fasa di dalam Pelan Pemulihan Negara. MITI bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkolaborasi dalam memastikan kerangka SOP yang dinamik dan efektif dapat dipraktikkan.

“Sejak 14 Januari 2021 sehingga 26 Jun 2021, pasukan petugas khas Covid-19 MITI telah menjalankan lawatan mengejut ke atas 24,960 premis perniagaan di seluruh negara. Daripada jumlah ini 190 premis telah diarahkan tutup oleh pasukan petugas khas ini yang terdiri daripada pegawai MITI dan beroperasi 24 jam sehari.

“Usaha berterusan untuk melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 dapat diperkukuhkan melalui program Safe@Work yang merupakan langkah yang memberdayakan majikan untuk serius dalam melindungi keselamatan pekerja tanpa mengkompromikan produktiviti,” jelas Azmin panjang lebar.

Tambah beliau lagi, Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dilancarkan sebagai Fasa 4 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi mempercepatkan imunisasi Rakyat. PIKAS akan dapat mempertingkatkan tahap pencapaian imuniti kelompok di dalam komuniti selain menjadi asas kepada perlindungan pekerja.

Ujar beliau direkodkan setakat 27 Jun, sebanyak 4,537 syarikat membabitkan 669,846 atau 30 peratus pekerja dalam sektor pembuatan di seluruh negara telah berdaftar di bawah PIKAS.

Kata Azmin, MITI menyasarkan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada tenaga kerja sektor itu menerima vaksin.

“Alhamdulillah, berdasarkan maklum balas yang cukup baik dari pihak majikan, MITI komited sasaran imuniti kelompok seramai 2 juta pekerja dapat dicapai menjelang September tahun ini.

” Perdana Menteri dalam pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) juga memperuntukkan sejumlah RM150 juta bagi memperkasakan lagi program vaksinasi ini.

“Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri tempoh hari kerana ianya merupakan satu keputusan yang pragmatik dan baik.
PIKAS mempunyai dua jenis PPV, iaitu PPV penggunaan umum; PPV di tapak (on-site). Oleh itu, bagi memastikan operator kemudahan vaksinasi tidak mengenakan kos berlebihan kepada majikan yang perlu menggunakan perkhidmatan PPV sedia ada, MITI meminta kos standard RM30 setiap dos selain RM15 disalurkan kepada ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.

“Sambutan dari para majikan dan pekerja juga cukup menggalakkan kerana dasarnya tak lain tak bukan hanyalah untuk menjamin keselamatan pekerja, mengurangkan kluster dan seterusnya memastikan operasi perniagaan serta ekonomi negara dapat dipertingkatkan.

“Bagi majikan/syarikat yang belum mendaftar dan berminat menyertai PIKAS, boleh mendapatkan maklumat lanjut di www.miti.gov.my,” kata Azmin.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat