Ismail Sabri Saran Malaysia-China Kerjasama Bangunkan Industri Dron

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia dan China diseru untuk bersama-sama menerokai kerjasama strategik menerusi pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri dron.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak pemain-pemain industri, pembuat dasar dan wakil Kerajaan China untuk menerokai kerjasama strategik dengan Malaysia menerusi pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan.

Tegas beliau, sekarang bukan masa untuk kita menolak arus perubahan teknologi kerana ternyata dron memberi banyak manfaat kepada negara dan masyarakat seterusnya mewujudkan negara yang membangun.

“Ketika menerajui Kerajaan Malaysia, saya telah membangunkan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) sebagai agenda nasional bagi menyokong ekosistem dron.

“Industri dron atau Kenderaan Udara Tanpa Kawalan (UAV) adalah masa hadapan. Fungsinya bukan sahaja untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara, malah boleh meningkatkan sekuriti makanan negara dan meminimumkan impak perubahan iklim,” katanya ketika merasmikan Kongres Dron Dunia 2023 di Shenzen, China pada Jumaat.

Ismail Sabri turut berkongsi, sejak dunia dilanda wabak COVID-19, perkara utama yang menjadi keresahan seluruh dunia adalah isu sekuriti makanan negara.

“Tanpa kita sedari, kemunculan sistem dron ini mampu membantu meningkatkan sumber makanan negara terutama dalam aspek penanaman tanaman, pemantauan kesihatan tumbuhan dan hasil.

“Selain itu, isu perubahan iklim perlu dijadikan perbincangan utama kerana kesan daripadanya memberi kemudaratan kepada kehidupan manusia seperti bencana alam, peningkatan suhu yang mendadak dan peningkatan kadar kepupusan haiwan.

“Banyak manfaat dapat kita peroleh daripada sistem dron ini jika digunakan sebaiknya dan perlu ada kesedaran yang tinggi oleh setiap negara untuk mencebur dan melabur dalam industri dron,” jelas beliau.

Sementara itu kata beliau lagi, Kongres Dron Dunia 2023 ini adalah detik terbaik untuk memacu industri dron dunia dan memulakan langkah pertama ke arah mengadaptasi transformasi digital kepada seluruh lapisan masyarakat.

“Saya telah melihat sendiri bagaimana Industri UAV ini mampu memanfaatkan negara dan rakyatnya. Saya yakin banyak negara telah mencorak kerangka industri dron di negara masing-masing.

“China merupakan contoh yang terbaik dalam membangunkan industri ini. Syarikat-syarikat dari negara ini menguasai pasaran dron dunia. Kerajaan dan pemain industri saling berganding bahu untuk memastikan teknologi ini terus berkembang.

“Pada masa yang sama, Malaysia telah mempunyai ekosistem untuk industri dron melalui pembinaan prasarana dan dasar yang jelas menerusi pelan MDTAP30,” kata Ismail Sabri lagi.

Jelas beliau, industri dron penting dalam membentuk dunia yang lebih progresif serta masyarakat yang celik teknologi.

“Sistem dron telah berkembang luas melangkaui sektor ketenteraan malah kini telah banyak digunakan disektor perusahaan dan pertanian termasuk dimiliki sendiri oleh orang awam.

“Sektor pertanian di Malaysia sudah mula menggunakan dron secara intensif dalam aktiviti pemetaan ladang, pemeriksaan tanah, pembajaan dan peracunan. Sebagai contoh, sebuah agensi Kerajaan menggunakan dron untuk mengawal selia ladang kelapa sawit miliknya seluas hampir 900 ribu hektar.

“Setiap koridor di Malaysia juga mempunyai hab dron yang tersendiri seperti Kedah Aerotropolis serta Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ) yang akan menjadi pencetus kepada sistem ekologi bandar pintar.

“Kawasan yang ditetapkan ini menyediakan persekitaran khusus untuk pembangunan dron, ujian dan penggunaan rekreasi, menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam industri dron,” ujar Ismail Sabri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat